Friday 24 February 2017

Kaki patah dirempuh penagih dadah


ALOR GAJAH - Dua buah motosikal dipercayai dinaiki penagih dadah bertindak merempuh sekumpulan anggota penguat kuasa dan petugas media dalam satu operasi bersepadu berhampiran sebuah reban ayam di Masjid Tanah di sini, hari ini.

Akibat rempuhan dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, seorang anggota penguat kuasa cedera dipercayai patah kaki kerana menghalang salah satu motosikal berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah rumah dihuni warga asing dipercayai pekerja reban berhampiran.

Difahamkan dua buah motosikal dinaiki tiga lelaki dan seorang wanita bertindak sedemikian sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa yang disangka Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Mohd Sabri Ismail berkata, sebuah motosikal berjaya lolos sementara sebuah lagi dapat dihalang anggota berusia 32 tahun sehingga menyebabkan kaki kirinya tercedera dipercayai patah.

"Motosikal itu dinaiki dua lelaki bagaimanapun hanya pembonceng berjaya ditangkap manakala seorang lagi lelaki berjaya melarikan diri dalam kawasan semak berhampiran.

"Lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai positif dadah itu kemudian diserahkan kepada anggota AADK yang turut menyertai operasi bersepadu bermula jam 11 malam itu," katanya selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

- Sumber: Sinar Harian | 24 Februari 2017

No comments:

Post a Comment