Tuesday 3 January 2017

Sila tunjuk bukti tangan melecur

Mohd Irfan menunjukkan proses penyediaan biskut berasap.

ALOR SETAR - Seorang pemilik cafe yang tangan melecur menjadi tular di laman sosial berkaitan isu penjualan biskut berasap baru-baru ini tampil menjelaskan situasi sebenar isu berkenaan.

Pemilik Rabak Cafe, Afeyza Arshad, 33, berkata, biskut berasap yang diletakkan cecair nitrogen diluluskan oleh Kementerian Kzesihatan (KKM), malah penjualan biskut terbabit popular sejak setahun lalu di Kuala Lumpur dan belum terpalit dengan sebarang kontroversi.

“Terdapat suatu kenyataan yang mengatakan premis kami ditutup selama tiga hari berikutan takut didakwa berikutan penjualan biskut yang kononnya berbahaya itu.

“Rabak Cafe tidak pernah tutup kecuali hari Isnin iaitu hari cuti umum kami dan kami beroperasi mulai jam 5.30 petang sehingga 2 pagi,”katanya, kelmarin.

Afeyza berkata, beliau sangat marah dan terkilan apabila gambar premisnya tersebar luas di TV seolah-olah mereka melakukan kesalahan. Katanya, isu ini tercetus apabila terdapat seorang remaja lelaki yang membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Kedah (Cake), yang mendakwa tangannya melecur selepas biskut diletakkan di atas tangannya.

“Saya ada berhubung dengan pihak Cake, namun identiti pengadu dirahsiakan.

“Saya menggesa pengadu berkenaan tampil bersemuka dengan saya bersama bukti-bukti kukuh untuk dijelaskan kepada media yang mengatakan kami terlibat dalam kes biskut berasap itu.

“Sebagai langkah berjaga-jaga saya juga telah membuat laporan polis berhubung isu ini kerana saya rasakan ini adalah fitnah,”katanya.

Sementara itu, pengusaha biskut berasap, Nurul Najiha Natasha Abdullah, 21, berkata, tidak timbul isu dia dan suami melarikan diri kerana takut dikenakan tindakan sejak isu itu ditularkan.

"Kami tidak beroperasi kerana berada di luar Kedah ketika isu ini diperkatakan,"katanya.

Menurutnya, KKM juga sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa penggunaan cecair nitrogen pada makanan tidak berbahaya dan mereka juga pada awal pembabitan dalam penjualan biskut terbabit telah mendapat garis panduan cara menggunakan cecair terbabit.

“Isu ini bukan sahaja menjejaskan perniagaan saya sahaja malah turut menjejaskan reputasi usahawan biskut berasap seluruh negara.

“Berkaitan aduan remaja lelaki berkenaan yang mendakwa tangannya melecur, saya mahukan bukti pengesahan dari mana-mana pegawai kesihatan yang mengatakan tangannya melecur akibat cecair nitrogen,”katanya.

Suaminya, Mohd Irfan Haziq Ismail,21, yang menunjukkan cara penghasilan biskut berkenaan berkata, cecair berkenaan bersifat sejuk, bukan panas seperti yang didakwa.

“Asap yang keluar dari biskut berkenaan hanya mampu bertahan sehingga lapan minit sahaja,”katanya, yang turut menuang cecair berkenaan atas tangannya sebagai bukti cecair berkenaan tidak melecurkan kulit.

- Sumber: S/Harian | 24 Disember 2016

No comments:

Post a Comment