Sunday 13 November 2016

'Hanyut' temui penonton November ini


PENANTIAN selama empat tahun pengarah tersohor, U-Wei Saari untuk menyaksikan filem keenam arahannya ditayangkan, berakhir.

Hanyut bakal menemui penonton di seluruh Malaysia pada 24 November ini selepas menjalani penggambaran pada 2010 dan siap sepenuhnya dua tahun kemudian.

Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sofia Jane, Khalid Salleh, Adi Putra, Diana Danielle, Bront Palarae, Sabri Yunus dan Normah Damanhuri.

Turut terlibat pelakon Indonesia, Alex Komang, El Manik dan pelakon Australia, Peter O’Brien.

Filem yang menelan belanja RM18 juta ini turut mendapat suntikan dana RM1.8 juta dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi tujuan mempromosikan karya keenam dari pengarah berkaliber ini.

"Saya tentunya sangat bersyukur dan lega apabila Hanyut akhirnya dapat ditayangkan di sini. 

"Walaupun pelbagai dugaan harus dilalui, saya tekad pastikan Hanyut dapat ditayangkan dan saya percaya setiap dugaan yang berlaku ada hikmahnya," katanya.

U-Wei yang melakar nama melalui filem Perempuan, Isteri dan ... pada 1993 bagaimanapun akui masih perlukan sokongan ramai.

“Beban saya sebagai pengarah belum selesai. Sekarang ini saya ikhtiar supaya Hanyut ditonton ramai. Saya percaya pada projek ini malah kru produksi dan barisan pelakon juga percaya pada projek ini.

“Sebagai pembikin filem saya sedar, pasti ada padahnya. Saya sedar membikin filem perkara yang sukar dan mempunyai padah. Tetapi saya berharap biarlah masalah itu masalah kreatif bukan masalah yang remeh-temeh," katanya.

Antara filem lain yang pernah diarahkan U-Wei adalah Kaki Bakar, Jogho dan Buai Laju-Laju.

Hanyut menjalani penggambaran di Kuala Lipis, Pahang, dan berlatarbelakangkan zaman penjajahan di Tanah Melayu sekitar 1837.

Diadaptasi berdasar novel pertama nukilan Joseph Conrad, Almayer’s Folley. Ia mengisahkan mengenai Almayer lakonan Peter O’Brien, pedagang Belanda yang merantau dan hidup di Malaysia.

Berlatarkan abad ke-19, Almayer menyimpan impian mencari gunung emas yang dikatakan wujud dan pada masa sama menjalani kehidupan bersama isteri tercinta.

Berkongsi mengenai pemilihan novel ini, U-wei berkata, naskhah ini mempunyai nilai sentimental tersendiri.

“Kenapa saya mahu buat filem ini dan kenapa pilih adaptasi novel? Sebabnya, arwah isteri pertama saya, memang seorang yang memahami saya kadang-kadang tu lebih dari diri saya sendiri. 

"Arwah beri saya tiga novel untuk saya baca dan novel ini menarik perhatian saya. Ia memperlihatkan penceritaan mengenai wanita Melayu pada kaca mata seorang lelaki Inggeris yang tinggal dengan masyarakat kita tanpa memperlekehkan masyarakat kita.

"Beliau berkata, dia tidak faham dengan wanita Melayu dan turut bercerita mengenai masyarakat kita dengan jelas.

"Selain itu, kisah cinta yang diselitkan juga menarik perhatian saya," jelasnya.

Hanyut menjelajah ke festival-festival filem antarabangsa antaranya Festival Filem Asia Tenggara di Singapura, Festival Filem Asia di Canberra, dan Festival Filem Asia Jogja-Netpac Ke-8.

Hanyut terlebih dahulu ditayangkan di Indonesia pada 2014 dengan tajuk Gunung Emas Almayer dan dapat respons memberangsangkan di mana penonton Indonesia berkongsi sentimen sama iaitu mereka tidak pernah menonton filem Malaysia sebaik Hanyut.

- Sumber: Sinar Harian | 12 November 2016

No comments:

Post a Comment