Tuesday 1 March 2016

Yana enggan sahkan khabar berbadan dua

PELAKON dan pengacara, Yana Samsudi

KUALA LUMPUR: Hanya kerana dirinya dilihat agak berisi sewaktu menghadiri majlis perkahwinan rakan baik, Shaheizy Sam dengan Syatilla Melvin di Pulau Pinang, baru-baru ini, pelakon dan pengacara, Yana Samsudin heboh dikatakan sudah berbadan dua. 

Malah akui bintang Adnan Sempit ini, ada yang mengucapkan tahniah kepadanya berikutan cerita berkenaan, selain beberapa sahabat yang memegang perutnya apabila bersua muka. 

Bagaimanapun ketika ditemui beberapa hari lalu, isteri kepada Fadzil Zahari ini tidak mengiyakan mahupun menafikan perkhabaran berkenaan.

"Ada wakil media turut menelefon saya bertanyakan kebenaran khabar itu. Sebenarnya, baju yang saya pakai pada majlis Sam dan Tilla agak besar, sebab itu saya nampak agak berisi.

"Menjawab persoalan sama ada saya benar-benar hamil, apa yang saya boleh cakap ketika ini ialah rahsia. Tahun lalu, terlalu ramai orang bertanyakan soal zuriat, saya rasa lebih baik kita fokus pada artis yang baru beranak daripada bertanyakan pada saya.

"Saya belum mempunyai apa-apa berita untuk dikongsikan. Kalau ada apa-apa, saya akan beritahu nanti. Buat masa ini, ada atau tiada, saya tidak mahu komen," katanya sambil tersenyum lebar. 

Memohon maaf kerana tidak dapat memberikan jawapan berhubung perkara itu, Yana pada masa sama, meminta orang ramai untuk mendoakan kesejahteraannya. 

Yana akui ramai insan yang menyayangi dan mengambil berat mengenai dirinya, namun hanya itulah jawapan terbaik yang boleh dikongsikan buat masa ini.

Begitupun, ia tidak bermakna pelakon ini jelek dengan persoalan mengenai soalan zuriat yang diajukan kepadanya dan suami. 

"Sebenarnya, pertanyaan sebegitu tidaklah membuat saya tertekan, apatah lagi ia adalah berita gembira. Ia bukanlah berita tidak elok, tetapi apabila terlalu kerap bertanya, saya pun tidak tahu hendak jawab apa lagi.

"Sekiranya saya berbadan dua sekalipun, saya takkan selesa berkongsi mengenainya pada peringkat awal kehamilan. Keluarga suami saya mempunyai latar belakang dalam dunia kedoktoran, jadi mereka ada bercakap, kalau kurang daripada 12 minggu, lebih baik jangan dihebahkan kerana ia belum sah lagi," katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan Yana tidak menafikan beliau ada berjumpa dengan pakar nutrisi bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai pemakanan yang sihat.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment