Dyana bercakap sesuatu dengan moderator, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.
SHAH ALAM – Ahli Majlis Eksekutif Sosialis Muda DAP Kebangsaan, Dyana Sofea Mohd Daud membidas tindakan sesetengah pihak pengurusan universiti yang menggantung pelajarnya kerana menjemput ahli politik untuk menyampaikan ucapan di dalam universiti.
Menurut Dyana, 27, tindakan tersebut seolah-olah untuk menyekat kebebasan bersuara dan pendapat dalam kalangan mahasiswa di negara ini.
“Tindakan tersebut dibuat seolah-olah cuba untuk menakutkan mahasiswa daripada terus menyuarakan hak mereka di universiti. Ruang untuk kebebasan bersuara tidak pernah cukup. Kita perlu manfaatkan apa yang ada.
“Seperti apa yang berlaku di sebuah universiti, mereka (mahasiswa) panggil ahli Parlimen untuk bercakap tentang isu semasa.
“Mereka hanya panggil ahli Parlimen, bukan penjenayah tetapi mereka ini akhirnya digantung pengajian,” katanya ketika menyampaikan pandangannya tentang kebebasan bersuara menerusi Wacana Sinar Harian Siri ke-36 bertajuk ‘Kuasa Politik Baharu, Apa Anak Muda Mahu’ di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.
Menurut Dyana yang juga AJK DAP Negeri Perak, selain mahasiswa, anak muda lain juga terhimpit kerana tidak mempunyai platform yang sesuai untuk menyatakan pendapat masing-masing.
“Anak muda mahukan kebebasan berfikir dan kebebasan pendapat. mereka juga tidak suka disuruh. Memperjuangkan kebebasan adalah salah satu keutamaan dalam perjuangan saya.
“Anak muda adalah generasi smart phone (telefon pintar). Mereka cepat dan responsif. Sekiranya kerajaan mahu anak muda duduk dan dengar kata kerajaan hanya kerana anak muda dianggap masih tidak matang, maka ia tidak boleh diterima lagi,” katanya lagi.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment