Thursday 14 May 2015

Selangor kaji sama ada akan serap GST PBT

Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan membuat keputusan sama ada untuk menyerap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata pihakya telah mengarahkan Unit Perancang Ekonomi Negeri untuk melakukan kajian tersebut sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

"Ini kerana Selangor merupakan sebuah negeri besar dan mempunyai 12 PBT yang majoritinya terletak di bandar-bandar besar jika dibandingkan dengan Pulau Pinang yang hanya ada dua PBT," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis Luncheon Talk Ulasan Buku "Khalifah Umar Abdul Aziz" di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Selangor akan mengikut langkah Johor dan Terengganu yang menyerap GST bagi semua PBT di negeri itu.

Katanya kerajaan negeri juga akan menghantar surat kepada Kementerian Kewangan bagi meminta pengecualian GST kepada PBT di Selangor. 

Mengulas mengenai kemelut penstrukturan air di negeri itu, Mohamed Azmin berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada minggu hadapan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh dan tempat pertemuan itu. 

Mesyuarat untuk memuktamadkan cadangan pengambilalihan konsesi air daripada Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) oleh kerajaan negeri tertangguh sebanyak tiga kali - pertama pada 9 Februari, kemudian 9 Mac dan seterusnya 9 April.

Mohamed Azmin turut menyatakan pihaknya komited dalam memastikan Loji Rawatan Air Langat 2 siap mengikut jadual serta mahu pembinaan loji berkenaan mematuhi syarat dan ketetapan PBT. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment