Friday, 20 March 2015

Rintihan penoreh, tiga kementerian digesa bincang


KUALA LUMPUR - "Kementerian Peladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar perlu duduk semeja bagi membantu meringankan beban penoreh getah sekarang".

Demikian permintaan Datuk Abdul Azeez (BN - Baling) ketika membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kehidupan penoreh getah sekarang berada di paras kemiskinan apabila harga getah menjunam sehingga RM2.00 sekilo dan perlu diberi perhatian sekarang.

"Tiga kementerian perlu ikhtiar untuk bantu mereka, duduk semeja bincang cara untuk mudahkan mereka.

"Mereka (penoreh) banyak sokong kita, bantulah mereka, kita takut mereka kecil hati nanti, waktu susah mereka tidak ditolong," katanya.

Jelasnya lagi, oleh itu pertemuan tiga kementerian tersebut perlu dilakukan sesegera yang mungkin bagi membolehkan dan mempercepatkan 'jalan' untuk membantu penoreh getah.

"Gesaan saya tiga kementerian ini perlu segera bertemu, jangan lagi ditunggu," katanya.

Sementara itu Datuk Mahfuz Omar (Pas - Pokok Sena) ketika mencelah berkata, dia sangat bersetuju dengan cadangan tersebut.

"Ada yang jumpa saya kata mereka (penoreh) hanya makan ikan sardin tin dan beli beras dalam kuantiti timbangan dan bukannya di dalam paket kerana harga getah sekarang, yang sangat murah," katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment