Wednesday 7 January 2015

Tiada kompromi rakyat terlibat kumpulan '14K Triad'

ZAHID: KDN tak kompromi rakyat terlibat kumpulan 14K Triad

PASIR SALAK: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan rakyat Malaysia yang terlibat dengan kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikenali sebagai kumpulan '14K Triad'.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya mengesahkan tidak wujud kumpulan tersebut di Malaysia dan sekiranya terdapat rakyat Malaysia menganggotai kumpulan itu di luar negara, ia di luar perundangan negara ini.

"KDN tidak bersimpati walaupun individu berkenaan rakyat Malaysia dan kita (KDN) juga tidak akan berkompromi sekiranya seseorang itu terlibat dalam aktiviti perjudian atau kongsi gelap," katanya kepada pemberita selepas melawat 1,115 mangsa banjir dari 297 keluarga di pusat latihan UITM Sungai Galah hari ini.

Paul Phua serta anaknya, Darren Wai Kit Phua kini sedang dalam tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.

Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.

Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo‚ 100k Super High Roller 2014 dan dia juga disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap ‘14K Triad’.

Berikutan penahanan Paul Phua, firma guamannya, Chesnoff & Schonfeld memohon Zahid agar mengeluarkan surat kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F. Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang ahli ‘14K Triad’ dan kumpulan kongsi gelap itu juga tidak wujud di Malaysia.

Zahid berkata kes tersebut sedang dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat, maka pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan yang akan mempengaruhi sebarang keputusan yang akan dibuat oleh mahkamah negara itu.

"Kerajaan Malaysia terutama KDN dan (Polis) Bukit Aman berpihak kepada perundangan.

"Jika tertuduh dikenakan pertuduhan dan mahkamah memutuskan sebarang keputusan, maka peraturan dan perundangan negara berkenaan hendaklah dipatuhi," katanya.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment