Tuesday 6 January 2015

Kejatuhan nilai ringgit terburuk adalah fenomena antarabangsa

Kejatuhan nilai ringgit terburuk dalam tempoh lima tahun disifatkan fenomena antarabangsa berikutan hampir semua matawang negara pesat membangun mengalami kejatuhan berbanding dolar. 

KUALA LUMPUR: Kejatuhan nilai ringgit terburuk dalam tempoh lima tahun disifatkan fenomena antarabangsa berikutan hampir semua matawang negara pesat membangun mengalami kejatuhan berbanding dolar.

Menurut Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew, kebanyakan matawang dunia jatuh berbanding dolar berikutan pandangan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan menaikan kadar faedah dalam tempoh terdekat.

"Justeru, banyak tunai mengalir ke Amerika dan mengukuhkan nilai dolar," menurut Teng Siew ketika dihubungi Astro Awani, di sini baru-baru ini.

"Jika dilihat bandingan matawang dunia, 174 matawang dunia, hanya 18 matawang yang mengukuh berbanding Dolar. Kelemahan Ringgit perlu dilihat sebahagian dari kitaran pengukuhan dolar", katanya.

Beliau berkata kejatuhan ringgit juga boleh dikaitkan dengan kelemahan harga minyak mentah global yang ketika ini belum menunjukan tanda pemulihan.

"Kita tidak boleh anggap harga minyak akan kekal rendah selamanya. Ia kitaran lemah yang masih boleh pulih dan tidak perlu terlalu bimbang. Ia sementara dan saya percaya ia akan kembali pulih dalam tempoh tertentu."

Menurutnya lagi, ringgit diramal stabil kembali dalam tempoh tiga ke enam bulan selepas harga minyak kembali pulih.

Ringgit jatuh keparas RM3.51 berbanding dolar pagi Jumaat, terburuk sejak September 2009 dengan harga US$80 setong. Pada Isnin, harga minyak mentah pasaran Brent jatuh di bawah paras US$55.66 setong.

Fenomena ini menimbulkan kegusaran dikalangan pelabur dan pedagang bahawa pendapatan Malaysia akan terjejas sekaligus memberi sentimen negatif. 

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment