Thursday 10 December 2015

Pantun Pekan ke Pagoh rayu Najib, Muhyiddin berbaik

Mustafa (gambar) melihat kerjasama antara pemimpin kanan parti menjadi contoh kepada kepimpinan di peringkat akar umbi.

Menyatukan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi isu utama dalam sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden hari ini.

Namun, bait-bait pantun Perwakilan UMNO Melaka, Mustafa Musa mencuri tumpuan perwakilan.

"Dari Pekan ke Teluk Cempedak,
Singgah di Pagoh Tan Sri menanti,
Bercerai kasih bertalak tidak,
Ibarat rambut bersimpul mati"

"Berdamailah, berdamailah dengan semangat UMNO dan Melayu. Berdamailah. Saya rayu pendamaian (akan) dapat direalisasikan," kata Mustafa sambil mendapat tepukan gemuruh perwakilan di dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Jelas, menerusi pantun itu, perwakilan mahu hubungan antara Presiden dan Timbalan Presiden perlu diperkukuhkan semula dalam meneruskan kelangsungan UMNO.

Malah, dalam perbahasannya juga, Mustafa melihat kerjasama antara pemimpin kanan parti menjadi contoh kepada kepimpinan di peringkat akar umbi.

Justeru, beliau berharap selepas ini, antara Najib dan Muhyiddin tidak lagi wujud sebarang konflik serta adu domba yang akan mencemar imej UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Melayu.

Selain Mustafa, beberapa perwakilan lain yang membahaskan Ucapan Dasar Presiden turut membahaskan isu berkenaan hubungan antara Najib dan Muhyiddin.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment