Saturday 14 November 2015

`Mak Cun tak niat sindir sesiapa'

PRATONTON Teater Muzikal Mak Cun di Istana Budaya.

KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, Erma Fatima menafikan dakwaan ada antara babak teater muzikal, Mak Cun arahannya seperti menyindir sesetengah pihak dan bersifat peribadi.

Katanya, babak yang mengisahkan mengenai seorang suami ingin menjual tanah milik isteri pertama demi kesenangan hidup isteri mudanya itu adalah antara realiti masyarakat masa kini.

"Saya tidak berniat untuk perli mana-mana pihak menerusi karya yang dipentaskan di Istana Budaya ini. Bagi saya, mesej yang cuba disampaikan itu adalah realiti masyarakat masa kini.

"Sebagai pengarah, selain menyediakan hiburan untuk santapan penonton, mesej yang cuba diselitkan sebagai pengajaran juga memainkan peranan penting.

"Ia bersifat sebagai kritikan sosial untuk renungan bersama-sama. Banyak lagi mesej yang membabitkan masyarakat masa kini yang cuba saya terapkan dalam teater ini," katanya kepada BH Online.

Selain Erma, teater Mak Cun ini turut dibintangi Nora Danish, Datin Umie Aida, Ungku Ismail, Datuk Rahim Razali, Balkish Semundur Khan, Dafi Ismail dan Betty Rahmad. 

Teater itu ditayangkan bermula hari ini sehingga 22 November di Panggung Sari Istana Budaya menawarkan hiburan yang sarat dengan gelak tawa dan mesej tersendiri.

Ia juga menyaksikan gandingan semula Erma dan Fauziah Ahmad Daud selepas lebih 20 tahun dalam satu produksi.

Gandingan dua primadona ini ternyata memberikan impak menarik kepada naskhah yang dipentaskan itu.

Erma sebelum ini dilaporkan membuat permohonan cerai terhadap suaminya, Bade Azmi awal Mei lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Pasangan itu bagaimanapun gagal hadir ke mahkamah dengan membawa wakil lelaki dari kalangan keluarga atau pun kenalan terdekat bagi proses perdamaian.

Erma pernah mengeluarkan kenyataan beliau dan Bade sebenarnya tidak mempunyai masalah rumah tangga namun memfailkan permohonan cerai kerana masalah lain yang berkait rapat dengan perkahwinan mereka.

Pengarah filem Embun yang pernah memuat naik gambar dan berbaik dengan madunya, Aida kini enggan lagi mengulas lanjut berhubung wanita itu.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment