Sunday 18 October 2015

Tiga maut, dua parah dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS

Tiga maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 283 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Tol Ipoh Selatan.

IPOH: Tiga maut dalam kemalangan berganda yang melibatkan lapan kenderaan di Kilometer 283 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Tol Ipoh pada Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu turut menyebabkan seorang Penolong Pegawai Penyiasat (AIO) berpangkat Sarjan dan seorang orang awam cedera parah, manakala tiga lagi cedera.

Menurut Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ipoh, Inspektor Josin Amatin, kemalangan pertama berlaku melibatkan sebuah kereta dan sebuah trak tunda yang berlaku kira-kira 8.30 pagi.

Sebaik menerima laporan kemalangan, Sarjan Alias Othman, 46, dan Koperal Shamsol, 50, bergegas ke tempat kejadian.

"Ketika menjalankan siasatan, sebuah lori tangki membawa muatan simen dari arah hadapan telah terbabas dan melanggar semua yang berada di tepi jalan, termasuk kenderaan yang berhenti untuk membantu.

"Akibat pelanggaran itu, badan lori simen berkenaan tercampak ke bahu jalan melanggar besi penghadang tepi kiri jalan manakala kepala lori tersebut merempuh kenderaan polis," katanya.

Mereka yang maut ialah pemandu trak tunda dikenali sebagai Mohd Fazli Malijan, 38, anaknya Muhammad Shamsul Mohd Fazli serta anak saudaranya Muhammad Amirul Hakimi Abdullah masing-masing berusia 15 tahun.

Pemandu lori simen berusia 52 tahun itu, bagaimanapun, hanya mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan ketika kejadian, keadaan jalan basah dan licin akibat hujan.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut.

Mayat mangsa yang meninggal dunia turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Pemandu lori tangki simen itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Malaysia Bhd berkata keadaan trafik bergerak perlahan dari Ipoh ke Simpang Pulai akibat kemalangan itu sehingga petang ini.

"Kedua-dua lorong dari arah Ipoh ke Simpang Pulai telah dibuka namun kenderaan masih bergerak perlahan," katanya sepertimana dipetik daripada Bernama.

Beliau berkata, serpihan daripada kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu kecuali lori tangki telahpun dibersihkan.

- Sumber: Astro Awani |  Kemas kini: Oktober 17, 2015 

No comments:

Post a Comment