Tuesday 4 August 2015

PAC pertimbang dedah laporan ringkas siasatan 1MDB

Dr Tan Seng Giaw (tengah) menunjukkan notis mesyuarat PAC selepas sidang media di lobi bangunan sementara Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan laporan ringkas berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam masa terdekat.

Timbalan Pengerusinya, Dr Tan Seng Giaw berkata, usaha itu perlu dimaklumkan kepada orang ramai sejauh mana siasatan ke atas syarikat pelaburan nasional itu sebelum prosiding mengenainya ditangguhkan.

"Dengan tekanan orang awam, PAC mungkin terpaksa mengeluarkan laporan ringkas, bagi memberitahu orang ramai setakat mana siasatan telah dibuat sebelum prosiding ditangguhkan selama hampir tiga bulan.

"Di setengah negara seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat, penyiasatan sepenting ini khasnya mesyuarat pendengaran disiarkan secara terbuka," katanya pada sidang media di lobi bangunan sementara Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ahli PAC dari pembangkang dihalang untuk menggunakan bilik mesyuarat di sini bagi tujuan meneruskan prosiding yang ditangguhkan, hari ini.

Terdahulu, 1MDB satu kenyataan semalam berkata, ia menerima notis rasmi melalui Kementerian Kewangan daripada setiausaha Dewan Rakyat, bahawa prosiding yang dijadualkan, telah ditangguh ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Katanya, tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini ialah 4, 5, 6, 17 dan 18 Ogos serta 8 dan 10 September 2015.

Sehubungan itu, Tan menegaskan PAC sewajarnya dibenarkan meneruskan siasatan tanpa gangguan susulan kerajaan pernah mengumumkan program pengurangan hutang 1MDB dalam tempoh enam bulan.

"Perdana Menteri pernah menyebut bahawa kerajaan ada program untuk mengurangkan hutang 1MDB dalam enam bulan. Ia tunggu laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

"Memandangkan Kerajaan sudah ada program, adalah wajar untuk PAC meneruskan penyiasatan 1 MDB tanpa gangguan. Semua pihak patut membantu," ujarnya.

Beliau juga berkata, walaupun pejabat Speaker Dewan Rakyat sudah memutuskan untuk menangguhkan prosiding 1MDB, namun pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi.

"Kami hanya tahu perkara ini melalui media, Speaker Tan Sri Pandikar tidak pernah menghantar surat rasmi mengenai perkara itu kepada kami," kata Tan.

Tan berkata lagi, beliau akan menggalas tugas bekas pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamad untuk meneruskan prosiding tersebut.

"Media sosial memaparkan pelbagai versi cerita 1MDB. Rakyat ingin tahun hakikatnya.

"Hari ini, kami hadir bersedia meneruskan kerjanya," katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment