Wednesday 12 August 2015

Anina: Ahli Umno sokong saya, tepuk tangan

Video ucapan Anina yang menjadi viral di media sosial. 

SHAH ALAM - Perwakilan Wanita Umno Langkawi, Anina Saaduddin mendakwa ahli Umno masih menepuk tangan ketika beliau menyampaikan ucapan keras yang mengkritik presiden parti itu pada mesyuarat sayap parti berkenaan, Sabtu lepas.

Dakwanya lagi, walaupun arahan sudah diberikan kepada perwakilan Umno yang hadir supaya menahan diri daripada memberikan sokongan ketika ucapannya, namun apa yang berlaku sebaliknya.

"Semasa saya berucap, perwakilan masih tepuk tangan dan saya anggap (ia) positif," kata Anina dipetik laporan Malaysiakini.

Menurut Anina, terdapat ahli umno yang takut untuk bercakap sendiri.

"Apabila ada orang yang nak bercakap bagi pihak mereka, ahli Umno ini datang berjumpa saya dan mengucapkan tahniah serta terima kasih," tambahnya.

Anina juga mengakui kelantangannya menyuarakan pandangan mengenai isu Umno terutama melalui media sosial menyebabkan beliau dipantau.

"Sebagai salah seorang perwakilan, saya anggap mereka (pihak atasan Umno) sedia maklum kalau saya datang ke mesyuarat, saya akan bersuara,” katanya.

Sabtu lalu, Anina mendakwa lebih tiga juta ahli Umno kini menjadi mangsa "kencing" Datuk Seri Najib Tun Razak apabila presidennya itu mengatakan kepimpinannya mendapat sokongan penuh.

Video rakaman ucapan tersebut juga viral dan menarik perhatian lebih 150,000 pelayar laman sosial.

Menurut Anina, mesyuarat Umno bahagian adalah saluran terbaik untuknya melontarkan teguran kepada Najib kerana beliau telah memendam perasaan yang lama.

Kata Anina, sebagai ahli Umno dan terikat dengan keperluan memberi sokongan penuh kepada presiden walau apa pun yang berlaku bukan perkara sihat untuk parti itu dan seseorang presiden boleh ditegur jika melakukan kesilapan.

“Ya, (Najib) tidak boleh ditegur dalam konteks mempertahankan kedudukan dia. Ini dalam konteks mempertahankan kedudukan dia. Dalam konteks beliau diasak dengan pelbagai kesalahan dia sendiri,” katanya.

Selain itu, Anina juga menolak dakwaan beliau mahu menjatuhkan Umno sebaliknya menegur Najib yang dilihatnya sebagai menyalahgunakan amanah rakyat yang telah diberikan kepadanya.

“Ramai orang sayang Umno. Saya bercakap juga kerana saya sayangkan Umno.

"Cuma ketika ini keyakinan rakyat terhakis kerana sikap pemimpin yang tidak telus, banyak benda yang tersembunyi, penerangan tidak dibuat dengan betul,” akhiri beliau.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment