Wednesday 29 April 2015

Pas kemuka cukai alternatif ganti GST


ROMPIN - Kempen menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada PRK Rompin yang diguna Pas sebagai bahan meraih sokongan pengundi bukan kempen ‘kosong’ kerana PR mempunyai alternatif lain kepada cukai tersebut.

Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, alternatif itu melibatkan dua jenis polisi cukai yang terkandung dalam belanjawan PR yang dibentangkan pada tahun lalu dan ia lebih baik berbanding GST.

“Saya kemukakan alternatif ini kerana ada seorang pemimpin itu yang meminta supaya PR nyatakan alternatif lain jika menolak GST dan saya tegaskan di sini bahawa PR mempunyai cukai alternatif tersebut yang lebih baik berbanding GST.

“Dua cukai tersebut ialah cukai keuntungan modal bagi ekuiti (CGT) yang berperanan sebagai alternatif kepada GST dan juga Cukai Warisan Harta bagi pemindahan aset di kalangan golongan kaya. Keduanya bukan cukai pukul rata seperti GST,” katanya.

Menurutnya, sistem percukaian CGT itu memberi fokus kepada pendapatan dan gaji yang adil iaitu keuntungan bagi modal itu dikenakan cukai seperti seorang pemaju perumahan selain mempertahankan subsidi untuk rakyat.

Katanya, CGT juga diguna pakai di 127 negara berbanding GST yang dilaksanakan kira-kira 100 negara manakala dari segi pendapatan pula dijangka lebih tinggi iaitu kira-kira RM3 bilion berbanding GST, RM2.3 bilion sahaja.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Pahang itu turut menempelak seorang pemimpin yang mengatakan bahawa GST tidak membebankan orang kampung seperti yang dilaporkan oleh beberapa media.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment