Monday, 23 March 2015

Lori terbabas, ‎jatuh dalam gaung

Abdul Razak Hassan

KUANTAN - Tiga maut termasuk seorang pelajar Maktab Perguruan Lipis dalam kemalangan berasingan yang berlaku di Jalan Lipis-Merapoh hari ini.

Dalam kemalangan pertama pukul 4.30 pagi tadi, dua lelaki berasal dari Kelantan maut selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung di Kilometer 51 Jalan Lipis-Merapoh.

Mereka yang terbunuh ialah pemandu kereta Proton Persona S.Thamodharan, 37, dan pemandu lori tangki muatan minyak kelapa sawit, Yusri Ibrahim, 48.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kemalangan berlaku semasa pemandu Persona terbabit sedang menghala ke Merapoh dari arah Kuala Lipis.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Persona itu hilang kawalan sebelum masuk laluan bertentangan dan bertembung dengan lori muatan 37 tan minyak sawit tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. ‎

"Akibat pertembungan itu, lori terbabit telah terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam gaung kira-kira 30 meter dari jalan," katanya.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat.

Sementara itu katanya dalam satu lagi kemalangan di Kilometer 46, jalan yang sama seorang pelajar Maktab Perguruan Lipis, Ahmad Izat Rosli, 24, maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas masuk ke dalam parit.

Abdul Razak berkata, nahas pukul 6 pagi itu berlaku semasa mangsa bersama isterinya, Hazirah Hassan, 22, dalam perjalanan dari arah Kelantan menuju ke Maktab Perguruan Lipis.

"Mangsa maut ditempat kejadian manakala isterinya hanya cedera ringan," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment