Wednesday 4 March 2015

Ibu sebak ambil keputusan SPM arwah anak

Fatimah menerima keputusan cemerlang SPM milik arwah anaknya, di SMK Puncak Alam, semalam.

PUNCAK ALAM – “Memang saya tak dapat tahan air mata tatkala ambil keputusan anak apabila mengenangkan arwah tidak dapat meraikannya,” demikian kata ibu kepada Nur Asyiqin Zaini, 18, yang meninggal dunia pada 26 Januari lalu.

Nur Asyiqin yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disahkan meninggal dunia akibat denggi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Menurut Fatimah Ismail, 47, dia tidak dapat menahan sebak apabila naik ke pentas bagi menggantikan anaknya untuk mengambil keputusan SPM.

“Saya masih ingat arwah bersungguh-sungguh menelaah pelajaran kerana tak sanggup nak lihat kami kecewa lebih-lebih lagi guru yang menaruh harapan tinggi kepadanya.

“Arwah akan menangis selepas habis menjawab kertas peperiksaan kerana katanya, dia tak dapat jawab dengan baik," katanya.

Menurutnya, arwah seorang anak yang tak pernah tinggal solat dan sentiasa bawa al-Quran ke mana-mana, walaupun ketika ditahan di wad.

Fatimah berkata, dia sekeluarga cukup bangga apabila arwah meraih keputusan cemerlang dan tersenarai dalam 19 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam.

“Setiap kenangan dan kejayaan arwah akan kami kenang buat selamanya dan menjadi penyuntik semangat untuk tiga adiknya yang masih bersekolah,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment