Thursday 5 February 2015

PKR mungkin lebih kukuh dan bersatu jika Anwar dipenjara - Wan Azizah

PKR mungkin lebih kukuh dan bersatu jika Anwar dipenjara. -Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkemungkinan akan lebih kukuh dan bersatu jika Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan sekali lagi, kata presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam satu temu bual yang disiarkan oleh lidah rasmi PKR, Suara Keadilan, Dr Wan Azizah berkata, perkara itu dilihat dalam konteks memerangi ketidakadilan dan kezaliman.

"Kita tubuhkan parti ini ketika Saudara Anwar dipenjara. Seterusnya kita diperkuat dan diperkukuhkan lagi selepas Anwar dibebaskan.

"Tetapi ada kemungkinan ini akan membolehkan kita lebih kukuh dan bersatu untuk memerangi ketidakadilan dan kezaliman.

"Ini bukan untuk Saudara Anwar sahaja, tetapi untuk individu lain yang menghadapi tuduhan palsu, pemenjaraan, dan penghakiman, khususnya mereka yang berada dalam Pakatan Rakyat," katanya dalam temu bual khas yang disiarkan menerusi keluaran terbaru akhbar tersebut.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata kerjasama antara partinya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat akan diteruskan biarpun Anwar dijangka akan dimasukkan ke dalam penjara.

"Anwar tidak ada, Kak Wan ada, Azmin ada. Itu pimpinan mereka. Presiden, timbalan. Kita bekerjasama dengan parti, bukan dengan orang.

"Masa kita tubuhkan Barisan Alternatif dulu pun Anwar masih kat dalam lagi.

"Itu bukan sebab (PAS nak keluar Pakatan). Lagi kukuh Pakatan Rakyat sebab kita bertanggungjawab meneruskan (Pakatan)," kata Mustafa pada 28 Januari lalu.

Sementara itu, ketika mengulas sokongan anak muda terhadap Anwar, Dr Wan Aziah mengakui pada mulanya mereka bimbang generasi baharu tidak mengenali Ketua pembangkang itu.

"Sebab ada kalangan mereka yang lahir bukan lagi ketika Anwar sebagai Menteri Pendidikan, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan," katanya lagi.

Namun, jelas beliau, berkat pengetahuan ibu bapa mereka dan kemudahan komunikasi seperti media sosial, mereka memahami perjuangan PKR dan Anwar.

Dr Wan Azizah juga mengakui kes liwat melibatkan suaminya itu merupakan satu ujian berat kepada kehidupan beliau sekeluarga.

"Dasar politik ini sepatutnya digunakan dengan perkara-perkara bermanfaat, bukannya menggunakan isu-isu seperti ini untuk menjatuhkan musuh politik.

"Jelas ini satu tragedi dalam hidup saya, namun saya anggap ini ujian Allah dan biarlah ia menjadi pengajaran supaya tidak terjadi kepada orang lain," jelas beliau.

Namun begitu, Dr Wan Azizah mengakui mempunyai keyakinan Anwar akan dibebaskan daripada tuduhan kes liwat yang dihadapinya pada 10 Februari ini.

"Kalau sebaliknya, itu satu ujian yang saya terima dan redha. Tetapi tidak menunjukkan kita kalah sebab Anwar memang tidak bersalah," katanya.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment