Monday 23 February 2015

Pasangan dipenjara lebih dua tahun kerana hina raja Thailand

Pada awalnya, mereka masing-masing berdepan hukuman penjara lima tahun namun telah dikurangkan kepada dua tahun enam bulan kerana mengakui bersalah. - Foto AFP

BANGKOK: Sepasang belia Thailand yang didakwa kerana menghina sistem monarki dalam sebuah pementasan di universiti dijatuhkan hukuman penjara selama dua setengah tahun hari ini, selepas pihak junta mempertingkatkan penahanan di bawah undang-undang lese majeste (menghina institusi diraja) yang kontroversi.

Penuntut Patiwat Saraiyaem, 23, dan aktivis Porntip Mankong, 26, ditangkap pada Ogos tahun lalu selepas habis mementaskan persembahan satira berjudul The Wolf Bride.

Pada awalnya, mereka masing-masing berdepan hukuman penjara lima tahun namun telah dikurangkan kepada dua tahun enam bulan kerana mengaku bersalah, ujar hakim Mahkamah Jenayah Ratchada di Bangkok.

"Mahkamah mendapati peranan yang mereka bawakan dalam pementasan itu mengakibatkan keterjejasan teruk pada sistem monarki dan tiada sebab menggantung hukuman tersebut,” katanya.

Pasangan itu didakwa di bawah undang-undang lese majeste selepas mengadakan pementasan di Universiti Thammasat sempena ulang tahun ke-40 protes pro-demokrasi pelajar.

Polis sedang memburu sekurang-kurangnya lagi enam orang yang turut menjayakan pementasan tersebut. Mereka diburu berdasarkan kod kenayah 112 yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun kerana menghina raja, ratu atau kaum kerabat diraja.

Raja Bhumibol Adulyadej, 87, disanjung seumpama separa dewa dalam negara yang diselubungi undang-undang ketat yang melindungi keluarga diraja.

Para pengkritik menyifatkan undang-undang lese majeste telah digunakan sebagai alat untuk menindas musuh politik, dengan kebanyakan daripadanya adalah mereka yang berkait rapat dengan pergerakan Baju Merah pembangkang. 

- Sumber: AFP

No comments:

Post a Comment