Wednesday 24 December 2014

Banjir terburuk di Gua Musang dalam tempoh 30 tahun

Banjir terburuk di Gua Musang dalam tempoh 30 tahun

GUA MUSANG: "Bencana banjir tahun ini amat luar biasa dan menggerunkan," begitulah luahan penduduk Kampung Batu Papan apabila kampung mereka seolah-olah sebuah pulau selepas digenangi 90 peratus air dan hanya tinggal 10 peratus daratan.

Menurut penduduk kampung, keadaan banjir di Gua Musang ketika ini adalah yang terburuk dalam tempoh 30 tahun.

Kira-kira 200 rumah penduduk Kampung Batu Papan telah ditenggelami air.

Biasanya air akan surut dalam tempoh 12 jam, namun hujan lebat tanpa henti sejak 3 hari lalu menenggelamkan kampung mereka.

"Memang banjir tahun ini luar biasalah dan amat meggerunkan sebab 100 peratus kena pindah. Seingat saya duduk sini inilah paling teruk dan dalam sejarah bencana terburuk di Batu papan, kalau dulu tahun 2001 tidak seteruk ni," ulas Ibrahim Ismail yang juga merupakan penduduk Kampung Batu Papan.

"Malam saya bangun dalam pukul 2 surut dalam sekaki. Pagi ni memang cepat naik dari kelmarin lagi. Pertama lagi 30 tahun lebih saya duduk kampung ni, nilah paling teruk. Memang di luar jangkaanlah," tambah Mohd Alif Yusof.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab. Aziz Yusoff bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Gua Musang turut menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk serta menyelamatkan seorang wanita sarat mengandung serta seorang warga emas yang sakit.

Kata beliau, "Kampung Batu Papan dah terkepung dengan air dan seolah-olah pulau dan kita telah agihkan makanan. Kita tak mampu untuk mengangkut mereka kerana terlalu ramai. Dan kita tidak mencukupi bot2 untuk mengangkut kerana, Gua Musang banjir besar dan bot amat terhad."

Sebanyak tiga buah pusat pemindahan bagi DUN Galas iaitu di SMK Tengku Indra Petra 1, SMK Tengku Indra Petra 2 dan SK Fakhri Petra.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment