Saturday 15 November 2014

Culik: Rayu kerajaan selamatkan suami

Pek Nyuen (duduk, dua, kiri) bersama ahli Parlimen PR merayu kerajaan bantu bebas suaminya daripada kumpulan penculik.
Pek Nyuen (duduk, dua, kiri) bersama ahli Parlimen PR merayu kerajaan bantu bebas suaminya daripada kumpulan penculik.

KUALA LUMPUR - “Penculik bagi tempoh sehingga hujung November ini. Jika saya gagal serah wang itu, mereka mahu penggal kepala suami saya,” kata Chin Pek Nyuen.

Pek Nyuen adalah isteri kepada penternak ikan Chan Sai Chiun yang diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kampung Sapang Air Kunak, Sabah pada Jun lalu.

Kumpulan penculik itu menuntut wang tebusan RM3 juta sebagai syarat pembebasan Sai Chiun. Menurut Pek Nyuen, dia menerima panggilan terbaru daripada penculik kira-kira jam 11 pagi semalam.

Dia yang ditemui di lobi Parlimen semalam, sekali lagi merayu kerajaan segera membantu membebaskan suaminya selepas mendakwa tidak mendapat maklumat terkini daripada pihak berkuasa mengenai perkembangan semasa kes penculikan Sai Chiun.

“Jika kerajaan tidak mahu bertindak segera, saya tiada pilihan lain untuk turut sama menyerah diri kepada penculik bagi menyelamatkan suami saya,” katanya lagi.

Pada sidang media itu, seramai 10 ahli Parlimen PR hadir memberikan sokongan kepada Pek Nyuen.

Ahli Parlimen Indera Mahkota (PKR), Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, tempoh masa yang diberikan semakin hampir dan jika tiada tindakan drastik kerajaan, dibimbangi mangsa akan menjadi korban pengganas.

“Kami merayu pada kerajaan segera bertindak, kasihanilah ahli keluarga mangsa yang tidak lena tidur sejak lima bulan lalu.

“Mangsa rakyat Malaysia yang tidak bersalah, malah anggota keselamatan kita juga turut menjadi tebusan mereka. Kita menyambut baik usaha Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dalam membantu kes ini, namun masih tidak cukup,” katanya.

Tambah beliau, pasukan keselamatan Malaysia perlu bekerjasama dengan Kerajaan Filipina bagi menangani kes ini dengan segera.

Gesaan sama turut dinyatakan oleh Ahli Parlimen Sandakan (DAP), Stephen Wong agar kerajaan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

“Insiden penculikan ini kerap kali berlaku di Sabah, ini bermakna kita berdepan dengan masalah keselamatan yang serius.

“Saya harap kerajaan segera bertindak walau apa cara sekalipun,” katanya yang mencadangkan kerajaan akur dengan membayar wang tebusan kepada penculik sekiranya tiada jalan terbaik yang ditemui.

Sehingga kini dua rakyat Malaysia termasuk seorang anggota polis marin, Konstabel Zakiah Aleip masih berada dalam tahanan penculik selepas diculik di perairan Sabah.

Setakat ini, dipercayai penculik itu daripada kumpulan Abu Sayaff.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment