Friday 3 October 2014

Kes keracunan pertama tahun ini

KOTA BHARU - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mengesahkan kes keracunan yang dialami 46 murid di salah sebuah sekolah di Kuala Krai adalah kes pertama Kelantan pada pada tahun ini.

Pengarahnya, Hussain Awang berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan terperinci dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kelantan.

“Pihak JPN sudah mengadakan tinjauan ke sekolah terbabit dan mendapati kes keracunan ini dialami 23 murid lelaki serta 23 murid perempuan dan menyerahkan siasatan lanjut untuk mengetahui puncanya.

“Saya kecewa dengan kejadian seperti ini dan berharap pengendali makanan di setiap sekolah menitik beratkan mengenai kebersihan semasa menyediakan makanan kepada murid-murid,” katanya, semalam.

Semalam Sinar Harian melaporkan 46 murid tersebut mengalami keracunan makanan selepas menikmati roti bersama gulai ayam dan air berperisa coklat yang disediakan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) pada awal pagi Rabu.

Kesemua mereka dirawat di Hospital Kuala Krai sebagai pesakit luar selepas mengalami simptom muntah, sakit perut dan terpaksa berulang-alik ke tandas.

Mereka dibenarkan pulang dan dihantar menggunakan feri selepas menerima rawatan di hospital berkenaan, kelmarin.

- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment