Monday 3 March 2014

3 kementerian berganding bahu beri bantuan kepada kawasan krisis air


KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menggerakkan agensi-agensi di bawah kementerian masing-masing bagi mengatur gerak anggota dan aset yang dimiliki ke kawasan-kawasan yang mengalami krisis air.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata keputusan ini dicapai setelah perbincangan bersama kementerian-kementerian tersebut.

“Kerjasama ini dilaksanakan bagi membantu penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur yang berdepan dengan krisis kekurangan air ketika ini.

“Serentak itu, pejabat saya telah mengadakan mesyuarat khas melibatkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Persatuan Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia, dan Jabatan Kerajaan Tempatan bagi menyelaras bantuan tersebut,” katanya di dalam satu kenyataan.

Hishammuddin berkata ATM bersedia mengatur gerak sembilan trak ‘water browser’ yang setiap satunya berkapasiti 10,000 liter pada bila-bila masa kepada penduduk yang memerlukan.

“Manakala, Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia bersedia menggerakkan enam trak ‘water browser’ berkapasiti 5,000 hingga 15,000 liter ke kawasan-kawasan kritikal.

“Sementara itu, pihak berkuasa tempatan pula bersedia menggerakkan anggota dan asetnya jika sekiranya bantuan yang disalurkan oleh ATM dan Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia masih tidak mencukupi.

“Kesemua pihak akan bekerjasama rapat dengan SYABAS berhubung lokasi dan kawasan yang memerlukan bantuan. Selain itu, pihak SYABAS juga akan memastikan semua trak water browser akan diuji kualiti airnya terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk pengagihan kepada penduduk,” katanya.

Hishammuddin turut berkata Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sedia menggerakkan ahli-ahli Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) ke pusat bantuan bekalan air bagi membantu warga emas, wanita atau penduduk untuk mengangkut air ke rumah kediaman mereka.

“Dalam dua minggu ini, pelatih-pelatih PLKN juga boleh digerakkan membantu orang ramai. Ini kerana ketika ini mereka sedang mengikuti modul khidmat komuniti. Antara intipati penting dalam modul ini ialah melakukan khidmat masyarakat,” katanya.

Bermula 13 Februari lalu, ATM telah diatur gerak ke Dengkil membabitkan Kampung Selangor Dredging, Taman Arked dan Kem PLKN Paya Indah.

Untuk operasi tersebut, ATM telah mengaturgerakkan tiga trak ‘water browser’.

Sepanjang 10 hari operasi yang berakhir 22 Febuari lalu, sebanyak 1,015,00 liter air telah diagihkan kepada penduduk di 3 buah lokasi melibatkan 950 buah rumah dan 2,750 penduduk.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment