Thursday 25 December 2014

Lebih 90,000 mangsa banjir di lima negeri dipindahkan




KUALA LUMPUR: Keadaan banjir tidak menampakkan tanda-tanda reda sehingga menyaksikan 90,250 penduduk di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Perlis terpaksa berpindah, jumlah yang amat besar dalam sejarah bencana banjir di negara ini.

Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 32,343 orang, diikuti Terengganu (28,991), Pahang (24,316), Perak (4,335) dan Perlis (265).

Di KELANTAN, jumlah mangsa terbaharu itu menyaksikan peningkatan 5,190 orang berbanding 27,153 mangsa malam tadi, menurut portal banjir kerajaan negeri.

Pertambahan mangsa berlaku di Tanah Merah dan Kota Baharu, dan ibu negeri Kelantan itu kini lumpuh akibat limpahan Sungai Kelantan sejak semalam.

Selain kedua-dua jajahan itu, mangsa banjir tersebut membabitkan tujuh lagi jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tumpat.

Sebanyak 15 lagi laluan ditutup pagi ini akibat banjir, menjadikan keseluruhan 37 laluan di Kelantan ditutup kepada lalu lintas berikutan banjir.

Di TERENGGANU, 28,991 mangsa daripada 6,975 keluarga kini berada di 124 pusat pemindahan setakat pagi ini, dengan Kemaman daerah paling teruk terjejas dengan 19,405 mangsa daripada 4,607 keluarga.

Sejumlah 5,022 mangsa di Dungun dipindahkan ke 33 pusat pemindahan, diikuti Kuala Terengganu (3,203/14 pusat), Hulu Terengganu (640/11 pusat), Besut (562/lapan pusat), Marang (115/dua pusat) dan Setiu (44/tiga pusat).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Pahang yang membabitkan lapan daerah bertambah 8,372 orang kepada 24,316 orang pagi ini berbanding 15,944 orang daripada 4,015 keluarga malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Kuantan masih merekodkan jumlah pemindahan paling banyak iaitu 14,350 mangsa melibatkan 4,119 keluarga di 44 pusat pemindahan.

Di Maran, 2,744 mangsa ditempatkan di 17 pusat pemindahan diikuti Jerantut (2,478/34 pusat), Lipis (2,319/26 pusat), Pekan (1,402/18 pusat), Temerloh (649/15 pusat), Rompin (265/empat pusat) dan Bera (109/empat pusat).

Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di tiga daerah iaitu Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Perak Tengah meningkat kepada 4,335 orang daripada 1,079 keluarga.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara Negeri Perak, kawasan Perak Tengah menjadi lokasi terbaharu dilanda banjir selepas dinaiki air petang semalam dan enam lagi pusat pemindahan banjir di Bota dan Kampung Gajah dibuka hari ini.

Daerah Kuala Kangsar yang meliputi kawasan Sungai Siput mencatat bilangan tertinggi mangsa banjir setakat ini iaitu 2,767 orang daripada 659 keluarga dan 23 pusat pemindahan masih dibuka.

Hulu Perak yang melibatkan kawasan Lenggong pula mencatat 615 mangsa manakala Perak Tengah menyaksikan 953 mangsa pagi ini.

Di PERLIS, keadaan banjir di utara Perlis masih bertahan namun jumlah yang dipindahkan meningkat berbanding malam tadi.

Bilik Operasi Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis melaporkan sebanyak 265 mangsa daripada 81 keluarga yang dipindahkan setakat 9 pagi ini berbanding 253 mangsa daripada 71 keluarga malam tadi.

Mereka kini berada di lima pusat pemindahan iaitu Maktab Rendah Sains MARA Beseri, Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Dewan Malau, Dewan Beseri Dalam dan Dewan Seri Pilihan. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment