Friday 19 December 2014

Harga petrol, diesel turun 10 sen lagi mulai 1 Januari?

Harga minyak RON97,RON95 dan diesel turun 10 sen lagi mulai 1 Januari 2015?

KUALA LUMPUR: Harga minyak RON97, RON95 dan diesel dijangka turun 10 sen lagi bermula 1 Januari 2015.

Presiden Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman berkata situasi itu rentetan penurunan harga minyak mentah dunia yang menyusut kebelakangan ini.

"Kita jangka penurunan 10 sen untuk semua minyak, bagaimanapun ini hanya bayangan harga kerana kadar sebenar hanya akan ditetapkan kerajaan dalam masa terdekat.

"Tidak banyak penurunan walaupun harga minyak dunia mencatat penurunan. Masyarakat perlu tahu ada kos lain yang tidak termasuk di dalam pengiraan harga minyak seperti pengangkutan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Selasa, harga minyak mentah Brent jatuh pada paras di bawah AS$60 (kira-kira RM210) setong bagi penghantaran Januari, kali pertama sejak 2009.

Keengganan Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) mengurangkan pengeluaran yang kini pada 30 juta tong sehari menyaksikan harga minyak dunia jatuh 45 peratus dengan permintaan minyak dunia terus jatuh.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan turut membayangkan harga minyak akan turun lagi menjelang 1 Januari 2015.

Bagaimanapun kata Ahmad, jumlah penurunan harga kesemua bahan api itu bagaimanapun belum dapat diumumkan setakat ini kerana masih di peringkat kajian.

Ketika ditanya pandangannya mengenai tindakan beberapa pihak yang mengancam untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran sekiranya kerajaan masih enggan menurunkan harga petrol RON95 ke paras RM1.90, ini kata Hashim:

"Mereka ini tidak faham agaknya ada kos lain yang perlu dimasukkan sekali pada harga minyak itu sebelum ia sampai kepada pengguna akhir."

Pada 1 Disember lalu, harga runcit RON97 turun sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter dan harga runcit RON95 pula turun empat sen seliter kepada RM2.26 seliter. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment