Wednesday 10 December 2014

Puchong atau hantu pocong?

  • Ramai yang tidak tahu nama Puchong diberi sempena sejenis burung yang terlalu banyak ditemui di lombong kawasan itu puluhan tahun lalu.
  • Ramai yang tidak tahu nama Puchong diberi sempena sejenis burung yang terlalu banyak ditemui di lombong kawasan itu puluhan tahun lalu.


JIKA nama tempat ini disebut puluhan tahun lalu, ramai yang tidak berani memasukinya disebabkan tiga perkara; pertama hantu, kedua, penyamun dan ketiga, disebabkan ramai pengganas komunis.

Namun kawasan diberi nama Puchong kini bagaikan tidak pernah kosong dengan kelibat manusia dan juga kenderaan bertali arus di lebuh raya yang menyambungkannya dengan beberapa kawasan.

Bekas Ketua Kampung Batu 14 Puchong, Shaari Maun, 74, berkata, dia dilahirkan di Kampung Pulas, (diberi nama itu kerana banyak pokok pulasan) Puchong pada tahun 1940.

Mengikut sejarah terdahulu, Puchong yang dipercayai wujud kira-kira 120 tahun lepas mendapat namanya sempena sejenis burung yang dikatakan sering memenuhi kawasan tebing sungai dan lombong.

Burung berwarna putih dan kelihatan seperti bangau tersebut dikatakan malas untuk mencari makanannya sendiri.

Shaari berkata, Orang Asli pada sekitar tahun 1900 menjadikan burung tersebut sebagai makanan kegemaran sehinggalah terdapat seorang anak watan Melayu memberi nama kawasan itu yang kekal hingga ke hari ini.

“Kalau tanya orang sekarang, ramai yang tak tahu Puchong ini berasal dari nama seekor burung, sekarang haiwan tu sudah semakin pupus... tak tahu mana boleh temuinya lagi,” katanya.

Banyak tempat bermula dengan 'Batu'

Berdasarkan sejarah, Shaari berkata, mereka yang mula-mula menduduki Puchong adalah orang Asli di Kampung Pulas, sebelum berpindah ke Kampung Sungai Rasau Batu 14, Puchong.

Bagaimanapun, Puchong dipercayai diteroka sekumpulan orang Indonesia yang berhijrah dari Pulau Sumatera dan Jawa, kemudian menjadi orang asal di daerah yang turut terkenal dengan kewujudan buaya tembaga ini.

Ketika awal kewujudannya, Shaari berkata, penduduk bekerja sebagai penangkap ikan, penoreh getah dan melombong bijih timah kerana pada tahun 1900-an Puchong terkenal dengan kawasan bijih timah dan terdapat beberapa syarikat yang mempunyai kapal korek masing-masing.

“Oleh kerana banyak peluang pekerjaan dalam sektor perlombongan dan perladangan, ramai berhijrah ke Puchong termasuk orang dari negara Pakistan,” katanya.

Tambahnya, pada tahun 1948, semua kaum yang menetap di sekitar Puchong diarah tinggal di satu penempatan yang dipanggil Kampung Baru terletak di Batu 14.

Ia turut dipanggil kem yang dikawal ketat dengan dua pagar berlapis dan hanya mempunyai satu pintu keluar masuk.

“Masa tu ramai pengganas Komunis, jadi pihak British terpaksa ambil langkah tersebut untuk mengawal penduduk dari menyokong pergerakan tersebut.

“Ketika zaman Jepun pula, tentera mereka pancung kepala orang Cina tanpa mengira ada buat salah atau tak, masa tu orang Melayu lindungi orang Cina kerana kebanyakan mereka adalah jiran dan kawan sekampung,” katanya.

Antara tempat terkenal yang menjadi tempat Jepun memancung kepala Cina adalah antara Kampung Lama Batu 13, Puchong dengan USJ.

“Bagi mereka yang baru di Puchong pasti tertanya-tanya mengapa sesetengah tempat guna permulaan nama batu seperti Batu 8, Batu 11, Batu 12 atau Batu 14. Ia menunjukkan jarak kawasan itu dengan Kuala Lumpur,” katanya.

Ada kaitan dengan hantu?

Shaari berkata, kisah hantu juga sinonim dengan Puchong pada tahun 1970-an.

Pelbagai cerita hantu didengarinya dan paling banyak membabitkan Batu 9 hingga ke Batu 11.

“Dulu memang orang takut nak ke Puchong, takut hantu pun ada, takut penyamun pun ya juga. Ada saya dengar orang kayuh basikal rasa berat, rupa-rupanya bila dia toleh, batu nisan yang memboncengnya,” katanya.

Selepas jam 6 petang tiada siapa berani masuk ke Puchong, namun cerita seram dan misteri mulai hilang seiring pembangunan yang berlaku di daerah itu.

Dulu hanya terdapat jalan kecil dan berlengkok-lengkok namun kini wajah Puchong sudah 100 peratus berubah dengan kewujudan lebuh raya empat lorong.

“Masa jalan berlengkok-lengkok tulah ada penduduk jumpa hantu dan sebagainya, malah ia juga jadi tempat bersembunyi si penyamun.

“Sesetengah orang kata ada jalan yang ‘keras’ di Puchong, di jalan itu banyak kemalangan berlaku dengan menyebabkan kenderaan terbabas ke dalam kawasan gaung,” katanya.

Selain terkenal sebagai lokasi pergerakan Komunis, Shaari berkata, Taman Tenaga Puchong yang didiami kini juga pernah menjadi tempat tentera Jepun memenggal kepala mereka yang ingkar arahan.

“Di situ pun ada juga orang nampak kelibat hantu, tetapi semenjak duduk di sini saya tak pernah jumpa apa-apa pun,” katanya.

Penduduk, Md Yussof Abu Bakar, 78, pula berkata, dia sendiri pernah mengalami detik seram ketika menunggang motosikal dari Kuala Lumpur bersendirian.

“Masa tu umur lebih kurang 50 tahun baru balik dari kerja, tiba-tiba rasa menggigil dan basikal ditunggang rasa terlalu berat.

“Waktu tu tuhan sahaja yang tahu macam mana rasa takut, menggigil sampai rumah,” katanya.

Turut dikaitkan dengan buaya

Mengenai buaya Puchong yang sering menjadi sebutan banyak pihak, Md Yussof berkata, reptilia itu memang wujud dah pernah naik dari Sungai Klang ke kampung berhampiran.

“Ia kemudian ditangkap dan dihantar ke Zoo Melaka namun sudah tiada lagi kini,” katanya lagi.

Datuk Yap Pian Hon yang pernah menjadi wakil rakyat selama 35 tahun di Puchong berkata, kawasan itu dulu dipenuhi ladang getah dan lombong. Menurutnya, beliau ada juga mendengar dari orang-orang lama bahawa Puchong mendapat nama dari sejenis burung.

“Namun saya tak pasti betul atau tak namanya diambil sempena burung,” katanya.

Pada peringkat permulaan katanya, hanya Batu 14, Batu 8 dan Batu 12 mempunyai penghuni manakala di kawasan lain dipenuhi lombong dan ladang.

Puchong jelasnya mula membangun pada tahun 1985 apabila lesen melombong bijih timah tamat dan kemudahan infrastruktur mula dibina kerajaan.

“Memang Puchong dah wujud lama kira-kira 100 tahun dulu, selepas itu perancangan demi perancangan dibuat kerajaan hinggalah ia membangun pesat mempunyai puluhan sekolah dan pelbagai kemudahan lain.

“Dulu nak cari Puchong susah, sekarang siapa yang tak tahu Puchong. Saya tak sangka Puchong sekarang dah jadi bandar moden seiring perkembangan di negara ini,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment