Sunday 9 November 2014

Warga Singapura maut, kereta Porsche terbabas

KUALA LUMPUR - Dua lelaki warga Singapura maut apabila kereta mewah jenis Porsche yang dinaiki terbabas dan terbalik di KM3.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban menghala pusat bandar raya, awal pagi tadi.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S. Markandan berkata, kejadian berlaku kira-kira 2.45 pagi apabila kereta yang dinaiki mangsa hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang berhampiran Desa Petaling.

Mangsa dikenali sebagai Kwok Kon Chun, 35, dan Franco Toh, 43, maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

"Siasatan awal polis mendapati, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari Sepang ke pusat bandar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, Kwok merupakan seorang pelumba kereta yang sering menyertai perlumbaan di negara ini termasuk Supercar Drag Race di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala Franco seorang jurufoto profesional. 

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, sebuah jentera dengan lima anggota dari Balai Bomba Sungai Besi dikejarkan ke lokasi kejadian, sebaik menerima panggilan daripada orang awam untuk mengeluarkan mangsa.

Katanya mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment