Wednesday 26 November 2014

Aura dan dramatis Krisdayanti

"Krisdayanti akan mengadakan konsert di Malaysia? Mantap," hati kecil saya berteriak ketika mendapat khabar itu beberapa bulan yang lalu.

Jujur, saya bukanlah seorang peminat tegar ratu pop Indonesia atau lebih popular dengan panggilan KD itu.

Hanya meminati beberapa lagu seperti 'Mencintaimu', 'Menghitung Hari', dan 'Cahaya', saya tetap teringin untuk menonton KD secara langsung.

Akhirnya, pada 22 November lalu buat pertama kali saya melangkah ke Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk menonton KD di konsert secara langsung.

Megah dan mahal. Sesuai dengan persona KD yang berbakat besar itu.

Perkara pertama yang terdetik di hati saya adalah, ia pasti akan menjadi pengalaman unik. Ternyata gerak hati saya betul kerana ia adalah sebuah pengalaman yang bercampur-baur.

Puteri sulung Krisdayanti, Aurel Hermansyah, 16 turut bergandingan menyampaikan dua lagu 'Makin Aku Cinta' dan 'Cinta'. - Foto Facebook Krisdayanti Live In KL

Ada tiga sebab:

Satu, konsert yang dianjurkan kali ini adalah merupakan acara untuk menghargai 20 tahun penglibatan KD di dalam industri muzik di Indonesia dan Malaysia.

Tempoh 16 tahun bertapak dan mewarnai dunia muzik Malaysia ini bukanlah satu jangka masa yang singkat. Perjalanan konsert telah diatur untuk menceritakan liku-liku pengembaraannya sepanjang bergelar seorang anak seni.

Saya dapat mengikuti perjalanan itu dan dapat merasakan metamorfosis KD daripada seorang pendatang baharu hinggalah menjadi salah satu nama yang gah di Indonesia dan juga Malaysia.

Hampir 20 lagu dinyanyikan untuk mengubat kerinduan semua peminat, antaranya 'Mencintaimu', 'Menghitung Hari', 'Aku Wanita Biasa', 'Cahaya', 'Cobalah Untuk Setia', dan banyak lagi.

Gaya Hafiz Suip ketika berduet bersama Krisdayanti menyanyikan 'Ombak Rindu' (ciptaan Nurzaidi Abd Rahman) dan 'Cinta' (ciptaan Melly Goeslow). -- Foto Facebook Krisdayanti Live In KL


Persembahan disela-sela lagu miliknya, KD masih sempat untuk menyelitkan lagu-lagu untuk menghargai artis-artis legenda Malaysia seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ('Getaran Jiwa') dan Datuk Sheila Majid ('Sinaran').

Selama lebih dua jam kami dipersembahkan dan didendangkan dengan sebuah persembahan yang bergemerlapan serta alunan suara KD telah memukau saya dari awal hingga akhir.

Dua, gaya persembahan KD.

Melihat KD di kaca TV, semua sudah tahu dia akan memberikan persembahan terbaik sebagai penghibur yang cukup berbakat. Konsert di KL, KD telah menyiapkan sepuluh persalinan.

Pemilihan persalinan kelihatan terlalu dramatis dan berlebihan, tetapi semuanya melengkapkan aura dan karismanya.

Mungkin jika jumlah persalinan dikurangkan atau waktu yang diambil untuk menggantikannya dipercepatkan, persembahan akan menjadi lebih mantap.

Paling menarik, Siti Nurhaliza membuat cameo singkat dan menyanyi bersama beberapa bait daripada lagu yang didendangkan oleh Krisdayanti. - Foto Facebook Krisdayanti Live In KL


Tetapi itu adalah hal yang remeh. Secara keseluruhannya, KD bukan sahaja menyajikan suaranya sebagai hidangan utama, semua persalinannya adalah penambah rasa untuk pengalaman ini.

Pada segmen kedua persembahannya, KD hampir terjatuh gara-gara hilang keseimbangan. Penyanyi beranak empat itu, bingkas bangun dan langsung meneruskan persembahannya.

Profesional dan fokus yang tinggi.

Tiga, KD menampilkan dua pasangan duet iaitu puteri sulungnya, Aurel Hermansyah, 16 yang bergandingan menyampaikan dua lagu seperti 'Makin Aku Cinta' dan 'Cinta' yang merupakan ciptaan mantan suaminya, Anang Hermansyah.

Tidak ketinggalan juga, penyanyi 'papan atas' tanah air, Hafiz Suip turut berduet dengannya menyanyikan dua lagu berjudul 'Ombak Rindu' (ciptaan Nurzaidi Abd Rahman) dan 'Cinta' (ciptaan Melly Goeslow).

Gandingan yang agak 'ordinary' berbanding bakat mereka berdua. Seperti ada yang tidak kena apabila paduan suara mereka tidak langsung memberikan impak ke atas persembahan duet yang sepatutnya menjadi 'highlight' malam itu.

Jika dilihat dari aspek persembahan, persembahan mereka ditenggelami aura dan karisma KD. Tiada kompromi.

Pada pengamatan saya, Hafiz tidak berada dalam kondisi yang optimum.

Highlight bagi saya pada konsert tersebut adalah apabila Sheila Majid dan Siti Nurhaliza membuat cameo singkat dan menyanyi bersama beberapa bait daripada lagu yang didendangkan oleh KD.

Seperti yang telah saya katakan, 'KD Live in Kuala Lumpur' adalah satu pengalaman yang menerujakan dan akhirnya impian untuk menyaksikan KD secara live telah saya lunaskan.

Dibayangi masalah teknikal sewaktu konsert sedang berlangsung dan terpaksa dihentikan selama 10 minit, itu tidak mencacatkan keseluruhan pengalaman tetapi mungkin mencerminkan pihak penganjur tidak menjalankan persediaan dengan teliti.

Kualiti sistem suara juga tidak begitu memuaskan. Walaupun saya berada di tempat yang berprestij dan bertaraf dunia tetapi kualiti sistem suara pada persembahan itu bergema sebaliknya.

Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan konsert tersebut. Sepertinya faktor-X KD tidak begitu 'umpph' dan saya meninggalkan acara itu dengan perasaan yang sedikit tidak puas hati.

Tetapi tidak mengapa, saya akan 'menghitung hari' lagi untuk menyaksikan KD secara live di masa yang akan datang.

-------------------------------------------------
- Sumber: Astro Awani, oleh: Fuad Misbah 

No comments:

Post a Comment