Saturday 22 November 2014

13 pelajar sesat di Gunung Datuk ditemui selamat

REMBAU - Tiga belas pelajar Fakulti Sains Sukan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Seremban yang sesat di Gunung Datuk, dekat sini petang semalam dijumpai dalam keadaan selamat, malam tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Norazam Khamis berkata, kesemua mangsa yang berumur dalam lingkungan 20 ke 23 tahun terdiri daripada tujuh pelajar lelaki dan enam pelajar wanita ditemui dalam keadaan lemah oleh pasukan mencari dan menyelamat pada 10.20 malam.

"Mangsa dijumpai dari ketinggian kira-kira 500 meter dari paras laut dari tapak kaki gunung itu. Mangsa berjaya dibawa turun oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat pada 1.15 pagi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, beberapa orang mangsa mengalami kecederaan di kaki dan kesemuanya kelihatan keletihan.

Katanya kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut.

Mangsa dipercayai sesat selepas dikatakan mendaki gunung tersebut sejak 7.30 pagi semalam.

Difahamkan, mangsa menghubungi renjer hutan pada 2 petang kerana sesat dan pihak renjer kemudian turut menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) bagi operasi mencari dan menyelamat.

"Kumpulan pelajar terbabit sentiasa menghubungi pihak berkuasa dan memaklumkan mereka semua dalam keadaan selamat dan lokasi mereka berada iaitu di laluan Gunung Gagak berjaya dikenal pasti.

"Operasi menyelamat kemudian giat dijalankan bagi membawa semua pelajar terbabit turun dengan selamat," katanya.

Operasi mencari kesemua mangsa bermula pada 5 petang serta turut dibantu lebih 30 kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Perhutanan, polis dan penduduk kampung berdekatan.

Sementara itu, Norazam meminta orang ramai supaya menghubungi dan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa iaitu anggota renjer sebelum mendaki, namun sebaik-baiknya aktiviti ini dihentikan berikutan musim hujan pada ketika ini.

"Saya harap orang ramai dapat menunggu masa yang sesuai bagi menyertai aktiviti pendakian di sini iaitu sehingga keadaan cuaca kembali baik kerana hujan lebat menyebabkan keadaan laluan jalan di gunung ini licin selain kemungkinan lain seperti kejadian pokok tumbang akibat petir," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment