Friday 24 October 2014

Schumacher perlu masa bertahun-tahun untuk pulih, kata doktor

Menurut pakar, isteri Schumacher memainkan peranan penting dalam perkembangan positif bekas bintang Formula One itu. - Foto Fail

PERANCIS: Seorang doktor Perancis yang merawat bekas bintang Formula One, Michael Schumacher memberitahu bahawa jaguh Jerman itu sedang menunjukkan kemajuan, namun memerlukan masa bertahun-tahun lagi untuk pulih sepenuhnya.

Jean-Francois Payen juga memuji isteri Schumacher, Corinna atas pengorbanannya kepada jaguh tersebut sejak insiden kemalangan ski Disember tahun lalu hingga mengakibatkannya mengalami kecederaan otak yang boleh membawa maut.

"Saya telah menyaksikan beberapa kemajuan namun kita perlu memberikan Schumacher lebih masa lagi. Sama seperti pesakit lain, kita memerlukan skala masa antara satu hingga tiga tahun. Kita perlu bersabar,” ujar Payen yang merawat Schumacher di hospital.

Selepas berada dalam keadaan koma sejak Disember lalu, Schumacher kini berada di rumahnya di Gland, Switzerland. Payen berkata, dia masih merawat ikon berusia 45 tahun itu di hospital di Lausanne juga di rumahnya.

"Saya memantau perkembangannya dan kemudian akan memberitahu isteri dan anak-anaknya tentang perubahan Schumacher,” kata doktor tersebut sambil menambah, Corinna memainkan peranan penting dalam perkembangan positif Schumacher. - AFP 

No comments:

Post a Comment