Wednesday 8 October 2014

Notis guaman bukan untuk saya - Melissa Saila

Biopik Saloma: Notis guaman bukan untuk saya - Melissa Saila

KUALA LUMPUR: Entah dimana silapnya, pembikinan telefilem Saloma yang bertujuan mengimbau kembali sejarah dan kisah perjalanan hidup biduanita tersohor, Puan Sri Saloma kini terus dikaitkan dengan isu berbangkit yang rata-ratanya tidak setuju dengan pengkisahan yang diterbitkan Kus Semangat Aktor.

Telefilem yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Mencuri Guruh dan Pandang Kaseh telah disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif bermula 28 Ogos lalu. Adlin Aman Ramlie selaku waris A.R Tompel, suami pertama Saloma hari ini tampil menyelar penyiaran telefilem tersebut dan bakal mengenakan tindakan undang-undang kepada pihak yang berkenaan.

Menurut pengarah dan penerbit bagi telefilem biopik tersebut, Melissa Saila yang baru dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana belum mendapat sebarang dokumen yang merujuk kepada pihak Kus Semangat Aktor.

“Saya ada mendengar mengenai hal tersebut tetapi saya tidak boleh memberikan sebarang komen kerana buat masa ini notis yang dihantar pihak Adlin merujuk kepada pihak stesen penyiar(Astro) dan bukannya terus kepada saya.

“Jadi saya tidak ada apa-apa untuk diulas selagi pihak produksi tidak menerima sebarang dokumen bersabit tuduhan yang dibuat,”jawap Melissa ringkas serta bertindak untuk mengunci mulut dari mengulas lanjut mengenai hal ini.

Difahamkan Adlin yang diwakili peguam, Azam & Co telah pun mengambil tindakan awal menerusi penghantaran notis kepada Astro agar telefilem itu segera dihentikan namun tiada sebarang respon.

Pihak Adlin Aman Ramlie dan waris AR Tompel bakal mengadakan sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada petang Khamis (esok) bagi mendapat liputan umum berkenaan isu tersebut.

Waris lain AR Tompel iaitu AR Badul, Amran Tompel serta dua isteri seniman itu, Ruminah Sidek dan Zaiton Ismail juga dijangkakan bakal hadir.

- Sumber: ASTRO Gempak

No comments:

Post a Comment