Thursday 4 September 2014

Isteri Awie diperintah bayar kos RM500

Pada 4 Julai lepas, Awie, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan isteri Awie, Rozana Misbun, membayar kos sebanyak RM500 kepada penyanyi dan pelakon itu kerana gagal hadir ketika sebutan kes tuntutan jagaan sementara tiga anak mereka.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain membuat keputusan itu selepas Rozana, 36, dan peguamnya, Majdah Muda, tidak kelihatan ketika prosiding mahkamah bermula pada Rabu.

Mohd Amran berkata mahkamah memandang serius perkara itu kerana boleh menjejaskan prosiding mahkamah dan keadilan mana-mana pihak.

Rozana muncul bersama-sama peguamnya 20 minit kemudian dan memberi alasan mereka lewat kerana berurusan di kaunter untuk menyerahkan beberapa dokumen permohonan lain berkaitan kes itu.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan keputusan berhubung kos yang perlu Rozana bayar kepada Awie.

Pada prosiding pada Rabu, Majdah memaklumkan pihaknya memfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Nassir Abdul Aziz, yang memberi hak jagaan sementara ketiga-tiga anak pasangan itu kepada Awie, 46, pada 21 Julai lepas.

Bagaimanapun, peguam Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, membantah permohonan itu.

Mahkamah menetapkan 17 Sept ini untuk mendengar hujah kedua-dua pihak sebelum memutuskan perkara itu pada hari berikutnya.

Majdah turut memaklumkan pihaknya membuat permohonan untuk mengubah keputusan itu yang memberi Rozana hak melawat anaknya dua kali sebulan, iaitu pada minggu pertama dan ketiga selama dua jam bagi setiap sesi lawatan di rumah yang didiami Awie serta anak mereka.

Penyanyi rock terkenal Kumpulan Wings itu bernikah dengan Rozana di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Pada 4 Julai lepas, Awie, pelakon utama filem 'Zombie Kampung Pisang' dan 'Hantu Kak Limah' dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment