Saturday, 9 August 2014

Pengusaha dan pekerja pusat cuci kereta risau

Pusat mencuci kenderaan berlesen di Selangor diarahkan supaya beroperasi selama enam jam sehari, dari jam 12 tengah hari hingga enam petang sebagai langkah penjimatan air di Selangor - Foto Bernama

"Esok baru saya akan tahu sama ada saya akan kekal bekerja di sini atau diberhentikan kerja kerana arahan daripada kerajaan negeri akan merugikan majikan saya," itulah kata-kata seorang pekerja di sebuah pusat mencuci kenderaan.

L. Singamugam yang baru dua hari bekerja di pusat cuci kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Templer, Petaling Jaya berkata majikannya mengambil keputusan mengurangkan pekerja ekoran arahan kerajaan negeri Selangor mengehadkan operasi pusat mencuci kereta di seluruh negeri.

Bekas pekerja ladang itu berkata menurut majikannya, kebanyakan pelanggan mereka datang mencuci kereta pada waktu rehat tengah hari dan selepas 5 petang.

"Dalam satu jam kita hanya boleh mencuci antara tiga hingga empat kereta sahaja. Kalau beroperasi sehingga pukul 6 petang sahaja, kita akan mengalami kerugian besar," katanya.

Khamis lepas, Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor mengeluarkan kenyataan mengarahkan pusat cuci kenderaan berlesen di Selangor hanya menjalankan operasi enam jam sehari bermula 12 tengah hari hingga 6 petang, berkuat kuasa serta merta manakala pihak berkuasa tempatan diarah menutup pusat cuci kenderaan tidak berlesen.

Menurut kenyataan itu, langkah itu untuk memastikan bekalan air mencukupi dan mampu bertahan sehingga fenomena El Nino berakhir.

Ini berikutan status semasa Empangan Sungai Selangor buat masa ini pada kadar 31.9 peratus iaitu paras kritikal manakala satu daripada sembilan kolam yang digunakan untuk mengepam air ke sungai juga kering.

Pemilik sebuah pusat cuci kenderaan di Seksyen 7, Shah Alam, Mohd Harris Fadzil Zakaria, 41, berkata pada dasarnya beliau bersetuju dengan langkah penjimatan air yang dilakukan kerajaan negeri tetapi kesal dengan keputusan membataskan waktu operasi.

"Kami berniaga secara sah dan berlesen, adalah tidak wajar dan tidak adil bagi kami jika waktu perniagaan dihadkan.

"Jika betul ingin laksanakan, hapuskan dulu car wash yang tidak ada lesen, saya ada lesen dan ikut segala undang-undang," katanya kepada Bernama.

Seorang pemilik sebuah pusat cuci kenderaan berdekatan Jalan Bahagia, Kelana Jaya yang ingin dikenali sebagai Lim juga tertekan dengan arahan itu.

"Masalah air ini merupakan isu yang lama, kenapa kerajaan (Selangor) masih tidak menyelesaikan isu ini? Kita buka kedai dari pukul 9 pagi hingga 6 petang sahaja.

"Saya akan mengalami kerugian sebanyak 50 peratus sekiranya keadaan ini berterusan...harap kerajaan (negeri Selangor) dapat pulihkan keadaan ini dengan secepat mungkin," kata wanita itu.

Sementara seorang lagi pengusaha di Jalan Universiti, Petaling Jaya berkata beliau akan tetap membuka pusat cuci keretanya sehingga 7 malam seperti biasa kerana kebanyakan pelanggan datang selepas waktu bekerja.

Seorang pelanggan, Mohd Fadzil Ismail, 45, yang bekerja sebagai guru berkata tindakan mengehadkan waktu operasi boleh merugikan perniagaan pengusaha pusat cuci kenderaan berlesen.

"Pada saya tindakan mengehadkan waktu operasi bukan penyelesaian yang terbaik. Bagaimana pula dengan yang membasuh kenderaan sendiri? Bukankah mereka juga menggunakan air yang banyak," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hafiz Zahari, 25, ketika ditemui bersetuju dengan arahan mengehadkan operasi pusat mencuci kenderaan berlesen dan penutupan operasi pusat mencuci kenderaan tidak berlesen.

Beliau yang bekerja sendiri berkata tindakan kerajaan negeri itu adalah antara langkah penjimatan air yang terbaik dalam usaha memastikan krisis bekalan air tidak berlaku.

Sementara itu, tinjauan juga dilakukan di beberapa pusat cuci kenderaan yang tidak berlesen, namun pemilik dan pengusahanya enggan mengulas tentang arahan berkenaan apabila ditanya oleh pemberita. - Bernama

No comments:

Post a Comment