Saturday, 30 August 2014

Kedai terbakar, tak mampu ganti kasut pelanggan

Yit Cheong melihat kedai kasut miliknya musnah pagi semalam.
Yit Cheong melihat kedai kasut miliknya musnah pagi semalam.

MENTAKAB - Seorang warga emas meminta jasa baik pelanggan untuk bertimbang rasa kerana tidak mampu membayar ganti rugi 70 pasang kasut pelanggan yang hangus terbakar di kedainya dalam kebakaran di sini awal pagi semalam.

Tukang kasut tersebut, Choo Yit Cheong 76, yang hidup sebatang kara kerugian RM20,000 apabila kedai kasut miliknya di Jalan Tun Abdul Razak Off Jalan Abdul Kadir di sini hangus dalam kebakaran jam 12.10 pagi.

Menurutnya, dia mendapat tahu mengenai kejadian selepas diberitahu oleh rakan yang datang ke rumahnya di Taman Bukit Bendera pada jam 12.35 pagi.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anggota bomba sedang memadamkan kebakaran.

“Terdapat kira-kira 60 hingga 70 pasang kasut pelanggan dan ada di antaranya kasut berjenama yang mencecah ratusan ringgit,” katanya.

Dia berharap pelanggan dapat bertimbang rasa dan memahami keadaannya memandangkan wangnya tidak mencukupi untuk membayar semula ganti rugi kepada mereka.

Ketua Balai Bomba Mentakab, Mohd Kamarudin Mohd Saufi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.20 pagi dan sampai ke tempat kejadian pada jam 12.23 pagi.

“Kebakaran tidak merebak ke bangunan lain dan api berjaya dipadamkan pada jam 1.09 pagi melibatkan lima anggota pasukan bomba dan satu jentera.

“Hampir 80 peratus kedai sementara berstruktur kayu itu hangus dan operasi tamat pada jam 1.40 pagi serta tiada mangsa yang terlibat,” katanya semalam.

Kamarudin berkata, hasil siasatan pihak forensik bomba Temerloh menjumpai satu tong minyak di tepi dinding bahagian luar kedai.

“Pihak kami tidak dapat mengesahkan lagi tong itu mengandungi minyak hitam atau petrol kerana punca kes ini masih dalam siasatan,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment