Friday 15 August 2014

Into The Storm Cemas Mendebarkan

Into The Storm Cemas Mendebarkan

Filem arahan Steven Quale ini sedang rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara. Biarpun tidak dibintangi oleh pelakon-pelakon A-list, tetapi filem yang memaparkan tentang malapetaka alam ini menarik untuk ditonton.

Aksi-aksi yang dipaparkan cukup mendebarkan serta cukup realistik. Seperti kebanyakkan filem bencana alam yang lain, filem tulisan John Swetnam ini juga menyampaikan mesej bahawa segala teknologi ciptaan manusia tidak mungkin dapat melangkaui hukum alam ataupun mengatasi kekuasaanNya.

Nilai kasih-sayang keluarga juga jelas terlihat di dalam filem ini di mana seorang ayah sanggup berhadapan dengan segala halangan demi menyelamatkan anak lelakinya.

Selain itu, penonton juga boleh melihat bagaimana kegilaan seorang pengejar ribut taufan, Pete yang tidak kenal erti takut demi mendapat rakaman video taufan yang diinginkannya. Dia sanggup berkorban nyawa asalkan usahanya itu mampu memberi maklumat berguna untuk generasi akan datang.

Bagi GUA filem ini punya garapan kemas. Penulis dan pengarah tahu cara untuk memancing emosi penonton untuk sama-sama merasai debaran yang dipaparkan. Sungguhpun begitu, sepanjang durasi 89 minit itu, penonton tidaklah terus-terusan berasa cemas atau berdebar-debar, tetapi ada adegan yang mampu memecah tawa.

Ini kerana penulis telah mencipta dua watak dungu yang berusaha mengejar populariti menerusi video-video yang dimuat naik di laman sosial YouTube. Seperti Pete, dua watak ini juga sibuk mengejar taufan yang melanda. Mereka langsung tidak gentar, sedangkan mereka langsung tidak punya pengetahuan mahupun peralatan yang sepatutnya. Bagi mereka video hebat mesti dirakamkan untuk dimuatnaik ke laman YouTube.

Pada mulanya GUA menyampah juga melihat dua watak ‘loser’ ini tetapi akhirnya mengakui mereka berperanan untuk memecah tawa penonton. Malah GUA juga percaya ia ditujukan kepada mereka yang terlalu taksub dengan laman-laman sosial sehingga sering bertindak bodoh.

Into The Storm mengisahkan tentang taufan atau tornado maha hebat yang merempuh pekan kecil Silverton yang ketika itu sedang sibuk dengan persiapan hari graduasi Sekolah Tinggi Silverton. Demi keselamatan diri, penduduk pekan ini berganding bahu bagi menyelamatkan diri daripada situasi menggerunkan ini.

Dalam misi menyelamatkan diri, Gary Morris bersama anaknya, Trey perlu mencari anak sulungnya yang terperangkap di bawah runtuhan sebuah kilang lama. Ketika inilah Gary dan Trey terserempak dengan pasukan pengejar ribut taufan.

Sumber: Yahoo! Entertainment

1 comment: