Wednesday 16 July 2014

Sultan Selangor murka Khalid

Sultan Sharafuddin mengaminkan bacaan doa perasmian Masjid Pekan Sepang, Selangor hari ini.
Sultan Sharafuddin mengaminkan bacaan doa perasmian Masjid Pekan Sepang, Selangor hari ini.

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa kerana terdapat pihak yang bertindak mempersoalkan institusi agama sehingga sanggup mencemarkan kedaulatan Islam dan istana.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian berikutan kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mempersoalkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan mencadangkan kerajaan negeri menghapuskan kuasa eksekutif itu.

Baginda turut membidas Ahli Parlimen tersebut yang bukan anak jati Selangor supaya mengambil langkah melengkapkan diri memahami sejarah negeri dan mendalami undang-undang terpakai dalam negeri ini terutama sekali Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

“Beta berasa dukacita kerana ada di kalangan ahli politik dan golongan cerdik pandai yang beragama Islam sendiri tidak melindungi kesucian agama Islam daripada dipermainkan pihak tertentu, sebaliknya lebih mengutamakan agenda politik sendiri dan mengelirukan masyarakat,” titahnya semasa hadir Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Perasmian Masjid serta Sambutan Nuzul Al Quran Peringkat Negeri Selangor di Sepang hari ini.

Pada 18 Jun lalu, Khalid mendesak kuasa eksekutif Mais dalam menguatkuasakan hal ehwal agama Islam di negeri ini dihapuskan kerana kecewa dengan tindakan Mais yang tidak mahu memulangkan kitab Bible yang dirampas walaupun sudah diarahkan berbuat demikian.

Menurut Khalid, beliau mengharapkan agar kerajaan negeri mengkaji semula persoalan peranan dan kuasa yang ada pada Mais dan kembali kepada dasar kerajaan atau Raja Berperlembagaan.

Khalid turut berpendapat selain daripada mengganggu pentadbiran kerajaan negeri, kuasa eksekutif yang diberikan kepada Mais boleh menyebabkan Institusi Diraja itu sendiri tercemar.

Sultan Sharafuddin dalam perkara sama turut membidas kenyataan Khalid mengenai peranan Mais yang diwujudkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu Sultan Selangor menjalankan tugas sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini.

Titah baginda, tindakan Khalid mempersoalkan kuasa Mais menunjukkan sikap biadab dan penentangan kepada kuasa baginda sebagai Ketua Agama Islam.

Dalam titah itu lagi, Sultan Sharafuddin turut menegaskan Mais sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain bagi mengamalkan agama mereka.

Titahnya, Mais sentiasa menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan segala tindakan yang dilakukan oleh Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa mengganggu penganut agama lain. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment