Sunday, 27 July 2014

Pesta Mantai tumbang 300 ekor lembu, kerbau

Lebih 300 ekor lembu dan kerbau 'tumbang' dalam Pesta Mantai di Beranang

BERANANG: Lebih 300 ekor lembu dan kerbau dijual selama 48 jam tanpa henti bermula pada Jumaat malam sehingga Ahad di dalam Pesta Mantai di Beranang.

Ia merupakan acara tradisi yang mencecah lebih 50 tahun selain terkenal di seluruh Negeri Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam dialek Minang, mantai bererti kenduri atau acara makan-makan sebelum menyambut Syawal.

Menariknya setiap tahun, lembu dan kerbau yang dijual merupakan hasil penternak di kampung itu sendiri.

Menurut peniaga daging, Daud Kassim, pesta memantai itu merupakan acara tradisi keluarganya yang bermula daripada arwah bapanya.

"Sebenarnya pesta memantai ini merupakan acara tradisional yang bermula daripada arwah bapa. Apa yang seronok dan meriahnya apabila penternak lembu dan kerbau bersama-sama di satu lokasi dan mejual daging sampai malam hari raya.

"Kita sebagai generasi seterusnya mengambil tanggungjawab untuk meneruskan tradisi itu," katanya.

Katanya, paling penting, pembeli dapat menikmati daging segar kepada penduduk tempatan dan mereka yang dalam perjalanan pulang ke kempung di bahagian Selatan.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Sesapan Kelubi, Norhamdan Nordin berkata, kira-kira 15 penternak membuka gerai di satu kawasan tradisi di Pekan Beranang.

"Kalau ikut tahun ke tahun, memang sentiasa penggemar daging akan datang di sini merupakan dari seluruh Selangor.

"Menariknya di sini, semua yang dijual adalah daging lembu tempatan asli, kebanyakannya lembu liar yang dibela di kandang penternak di kawasan ini," jelasnya.

Sementara itu, pengunjung, Shamsul Muhardzi mengakui akan ke Beranang setiap kali menjelang hari raya untuk mendapatkan bekalan daging segar.

"Sebenarnya saya datang ke sini kerana dua sebab, satu kerana mengikut kawan dan kita semua tahu kemeriahan Pesta Mantai setiap tahun di sini...yang keduanya kerana dagingnya segar," katanya.

Kemeriahan mantai turut diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.

"Saya dapat lihat respon Pesta Mantai ini cukup lama terkesan bukan sahaja kepada penduduk tempatan di sini malahan kita dapati penduduk Johor yang ingin balik ke kampung turut menggunakan jalan lama untuk ke sini," jelasnya.

Pesta Mantai dikatakan tradisi turun menurun yang diwarisi masyarakat Negeri Sembilan. - Astro Awani 

No comments:

Post a Comment