Sunday 1 June 2014

Majlis kahwin Mohd Azuan bertukar menjadi tahlil

SAYU: Nur Faizah akui terlalu banyak kenangan bersama arwah

KUALA KEDAH: Majlis kenduri kahwinLans Koperal Mohd Azuan Abdullah, anggota polis yang terbunuh dirempuh penjenayah baru-baru ini, yang sepatutnya berlangsung hari ini telah bertukar menjadi kenduri tahlil.

Sayu dan hiba riak wajah tunang Mohd Azuan, Nur Faizah Muhammad Rejab, 22, ketika ditanya mengenai persiapan perkahwinan yang telah dilakukan bagi meraikan hari bahagianya.

Segala tempahan kelengkapan perkahwinan termasuk pakaian dan pelamin telah dibatalkan di saat-saat akhir selepas Nur Faizah mengetahui tentang kejadian yang menimpa Mohd Azuan.

Malah, pihak butik berkenaan turut bermurah hati dengan memulangkan kembali bayaran yang telah dilangsaikan Nur Faizah.

Namun, dia turut mengakui sukar baginya melelapkan mata dek terlalu rindukan arwah yang disifatkan sebagai seorang yang penyayang dan baik hati selain sentiasa mengambil berat akan dirinya.

Nur Faizah berkata, terlalu banyak kenangan yang pernah dilalui bersama arwah serta dia langsung tidak menduga begini pengakhiran cinta yang disulam sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, dia masih bersyukur kerana ibu bapa dan adik-beradiknya sentiasa berada di sisi untuk memberi perangsang dan kata-kata semangat untuk dia terus tabah bagi menghadapi ujian ini.

"Tiada apa-apa yang perlu dibuat sebab semua sudah tiada. Atas sokongan adik-beradik dan kawan-kawan, kita harus tabahkan hari. Kalau saya terus menangis, bukannya arwah boleh kembali. Sudah takdir dia macam itu. Nak buat macam mana?

"Mungkin ada hikmahnya. Banyak kenangan bersama beliau yang tidak dapat dilupakan," tambah Nur Faizah.

Sementara itu, Astro AWANI sempat menemubual Mohd Aizam Abdullah, abang kepada Allahyarham Mohd Azuan yang dilihat turut hadir bersama-sama ahli keluarga serta rakan-rakan arwah di majlis tahlil berkenaan.

Dikhabarkan, mereka menunaikan hasrat arwah yang mahukan sepuluh buah kenderaan berkonvoi dari Johor ke majlis perkahwinannya yang diadakan di rumah Nur Faizah di Kedah.

Menurut Mohd Aizam, sebelum ini arwah dan Nur Faizah telah merancang untuk bersama-sama menetap di Kuala Kurau, Perak selepas majlis perkahwinan mereka yang dijadualkan berlangsung pada hari ini.

Namun, hasrat arwah itu tidak tertunai malah lebih menyedihkan apabila segala persiapan termasuk perabot dan beberapa perkakasan hiasan sudah tersedia di rumah berkenaan.

"Barang di rumah beliau sudah dipesan, cuma belum sampai. Arwah ada juga beli bunga-bunga sebagai hiasan dan juga barang-barang lain. Biasalah, orang hendak kahwin, dia begitu gembira," kata Mohd Nizam.

Difahamkan, kenduri kahwin di sebelah pihak Mohd Azuan akan diadakan serentak dengan adik bongsunya yang dijangka berlangsung selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti di Johor.

Bagaimanapun, keputusan itu masih lagi dalam perancangan berikutan tiada persiapan yang dilakukan oleh pihak lelaki sehingga kini.

Dalam kejadian kira-kira 1.15 petang pada 26 Mei lalu, Allahyarham Mohd Azuan terbunuh ketika bertugas selepas motosikalnya dirempuh penjenayah di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu, Perak.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment