Thursday 19 June 2014

Jurufoto cedera dipukul keluarga tertuduh kes dadah

Jurufoto Utusan Malaysia, Irwan Majid menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya. --AstroAWANI


KOTA BHARU: Jurufoto Utusan Malaysia, Irwan Majid cedera dipukul oleh dua ahli keluarga seorang tertuduh yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah.

Kejadian berlaku semasa tertuduh, Zaruna Yusof, 43, dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas prosiding selesai. Jurugambar itu pada masa tersebut sedang merakamkan foto tertuduh.

Seorang daripada penyerang itu turut memecahkan kamera mangsa yang dihempaskan ke lantai. Seorang penyerang kemudian ditahan oleh polis manakala seorang lagi melarikan diri.

Irwan, 32, yang cedera di kepala dan siku kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.

Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI), Azran Fitri Abdul Rahim dalam reaksinya kesal dengan apa yang berlaku dan menggesa pihak polis mengambil tindakan yang sewajarnya supaya kes seperti ini tidak berulang.

"Sebagai pengamal media, jurugambar terbabit hanya menjalankan tugas hariannya dan pihak tertentu terutama keluarga yang dituduh tidak sepatutnya bertindak sedemikian," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Azran, masyarakat seharusnya memahami tugas yang terpaksa dijalankan oleh wartawan dan jurugambar.

Pada masa sama, KEMUDI meminta pengamal media agar menjaga keselamatan diri semasa menjalankan tugas terutama di kawasan yang berisiko.

Zaruna, seorang tukang jahit, disabitkan tuduhan mengedar heroin seberat lebih 50 gram Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman mandatori itu selepas tertuduh gagal membuktikan keraguan yang munasabah.

Zaruna didakwa mengedar heroin itu di tempat letak kereta Stadium Sultan Muhammad IV pada 21 Januari tahun lalu.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment