Saturday 31 May 2014

Orang ramai masih keliru status halal Cadbury

Majlis Fatwa Kebangsaan menjelaskan bahawa produk Cadbury sebelum didakwa mengandungi DNA babi adalah hukumnya halal dimakan.


KUALA LUMPUR: Kecoh di media sosial orang ramai menyatakan kekeliruan dengan status coklat Cadbury susulan satu kenyataan dari Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pada 29 Mei, Majlis itu menjelaskan bahawa produk Cadbury yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi DNA babi, hukumnya adalah ‘halal dimakan’.

Situasi ini menurut Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin adalah termasuk dalam kategori ‘Umum Al-Balwa’ iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.

Kenyataan ini bagaimanapun telah menimbulkan rasa was-was dan tanda tanya dikalangan orang ramai.


Boleh pulak cadbury ni kejap tak halal kejap halal. Emm. Musykil beyol.— Kakniss A02 (@anissfana)May 30, 2014

Dah tak fhm dah. Halal ke haram? Haih. Cadbury dlm fridge tu acanoooooooo— Saseeeeeee ♬ (@NadyaTashaaa) May 30, 2014

owh.. dh halal pulak eh cadbury ni?? cemane boleh halal? kate ade babi?— ☜ TaiKuN Q (@balqiswahid13) May 30, 2014

Coklat Cadbury ni halal ke idok? sat2 halal sat2 haram. yg mna stu yg betul ni— Monday Couple ™ (@AwatifJihan) May 30, 2014

bila masa cadbury dah halal ?— Hingwui. (@AinaLubLub)May 30, 2014

Cadbury halal balik eh?— Nashah ♥ (@NashahEl)May 30, 2014


Menurut Dr Abdul Shukor, hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan.

“Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai HALAL tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, Muzakarah telah memutuskan bahawa ia adalah dikategorikan sebagai 'Umum al-Balwa'” jelas Dr Abdul Shukor lagi.

Dalam pada itu, satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Cadbury Malaysia hari ini berkata, bahawa pihaknya telah memanggil balik dua kelompok (batch) produknya di pasaran secara proaktif.

“Kami akan meneruskan rundingan positif bersama pihak berkuasa tertinggi Malaysia dan masih menunggu analisis dari pihak Kementerian Kesihatan yang dikendalikan oleh JAKIM dan rantaian bekalan ke atas dua produk tersebut” kata kenyataan media tersebut.

Pihak Cadbury juga telah mengadakan perjumpaan bersama ketua dan pihak berkepentingan dalam memastikan pihak Cadbury Malaysia menghasilkan produk menepati kehendak penguna-penguna di Malaysia.

Pada 23 Mei , produk coklat Cadbury iaitu Kacang Hazel 175 gram (kelompok 200813M01H I2 tarikh luput 13 Nov 2014) dan Buah Badam 175 gram (kelompok 221013N01R I1 tarikh luput 15 Januari 2015) telah dikesan mempunyai Asid Deoksiribonukliek atau porsin oleh Kementerian Kesihatan.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment