Monday 26 May 2014

Hubungi isteri ucap selamat tinggal

Kereta mangsa yang ditinggalkan di jambatan Sultan Yahya Petra, malam kelmarin, sebelum dia bertindak terjun ke kawasan sungai.
Kereta mangsa yang ditinggalkan di jambatan Sultan Yahya Petra, malam kelmarin, sebelum dia bertindak terjun ke kawasan sungai.


KOTA BHARU - Seorang lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra berhampiran sebuah pasar raya terkemuka, dikhuatiri lemas, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Yoon Tuck Lee, 28, dilihat saksi memberhentikan kereta jenis Honda di tepi jambatan terbabit sebelum bertindak terjun ke kawasan sungai.

Saksi, Mohd Affandi Muhammad, 39, berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 9.15 malam, dia yang menunggang motosikal untuk menghadiri satu majlis di Tumpat, melihat lelaki terbabit memberhentikan kereta di kawasan itu dengan memberi isyarat lampu kecemasan.

“Melihatkan keadaan itu, saya perlahankan motosikal dan melihat seorang lelaki keluar dari kereta dan terus terjun dari jambatan terbabit, kemudian hilang dari pandangan.

"Saya segera hubungi bomba dan polis untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, hasil temu bual dengan isteri mangsa mendapati, mangsa tidak mempunyai masalah hutang atau bermusuh dengan sesiapa.

“Kali terakhir suaminya keluar makan bersama rakan dan isterinya malam tadi (kelmarin) sebelum kejadian tersebut.

“Selepas menghantar isterinya pulang, mangsa keluar dari rumah tanpa beritahu apa-apa,” katanya.

Azham berkata, mangsa hanya sempat hubungi isteri dan beritahu 'selamat tinggal', dan mematikan telefon bimbit.

"Dia gagal dihubungi sehingga mendapat makluman mangsa terjun dari jambatan terbabit," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said pula berkata, gerakan mencari dan menyelamat digerakkan serta-merta dan operasi malam kelmarin dihentikan jam 2 pagi sebelum disambung semula pagi semalam pada jam 7.30 pagi.

“Usaha mencari masih diteruskan dengan kekuatan anggota dari balai Kota Bharu, Darul Naim, bomba sukarela dan Unit Skuba, selain bantuan polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan positif mengenai mangsa,” katanya.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment