NEGARA Thailand sememangnya terkenal dalam menghasilkan filem bergenre seram yang meremangkan bulu roma dan menghantui fikiran penonton.
Justeru, peminat-peminat filem seram tidak boleh melepaskan peluang untuk menyaksikan satu lagi filem hebat dari negara gajah putih tersebut, iaitu Still 2 atau Phi Tai Hong dalam bahasa Thailand.
Terlalu banyak adegan yang akan membuatkan anda tidak senang duduk, seolah-olah turut sama dihantui oleh roh tidak tenang dalam filem tersebut.
Filem ini mengisahkan dendam roh yang tidak tenteram kerana mengalami kematian dengan cara yang kejam.
Disampaikan menerusi empat cerita dari empat kematian tragis, Still 2 juga mendapat sentuhan daripada empat pengarah yang berbeza.
Ternyata setiap pengarah mempunyai visi dan garapan tersendiri dalam menyampaikan kisah penuh darah dan dendam ini.
Bunuh kerana cinta
Persamaan yang mengaitkan keempat-empat kisah dalam filem ini adalah kematian dan pembunuhan yang berpunca daripada cinta.
Antara kisahnya, penumpang sebuah van mini awam menjerit ketakutan apabila berada di ambang maut disebabkan oleh roh tidak tenang. Persoalannya, siapakah dalang di sebalik dendam roh tersebut?
Kisah seterusnya memaparkan seorang wanita yang mati dibunuh dan dibuang ke dalam pembetung rumah pelacuran terbiar.
Aura keseraman terus menghantui dengan kisah ketiga yang menyaksikan kematian seorang wanita lalu disumbat dengan kejam ke dalam saluran penyaman udara.
Akhir sekali, penonton akan dibawa merasai ketakutan yang membelenggu seorang pemuda yang menjadi biarawan setelah membunuh kekasihnya.
Pastinya Still 2 wajib ditonton oleh anda yang ingin menguji kekuatan jantung dengan adegan-adegan dahsyat filem seram!
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment