Friday 23 May 2014

Ada apa dengan Dyana Sofya?

APABILA DAP menamakan seorang gadis Melayu lulusan UiTM yang juga kebetulan datang daripada keluarga UMNO sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil parlimen Teluk Intan, kita secara tidak langsung tercampak ke dalam satu perbahasan tentang politik dan makna bernegara: Apakah erti setia dan cintakan negara? Apakah makna khianat dan siapa itu pengkhianat?

Bekas Presiden UMNO,Tun Dr. Mahathir Mohamad yang selama lebih 20 tahun menerajui parti terbesar orang Melayu itu tidak menyembunyikan rasa kesalnya terhadap apa yang berlaku apabila Dyana Sofya Mohd Daud jadi calon DAP di Teluk Intan.

"Kalau datang daripada keluarga pembangkang tak jadi apa… pasal sejak kecil diajar benci UMNO," katanya yang juga bekas Perdana Menteri.

Dr. Mahathir menyalahkan ahli UMNO — dalam hal ini, secara khusus ibu bapa Dyana — kerana gagal mengasuh anak tentang kebesaran parti keramat itu sehingga menyebabkan apabila dewasa anak mereka lupa kepada sejarah UMNO dan kemudiannya menentang UMNO.

Kenyataan Dr. Mahathir itu dijawab oleh ibu Dyana, Yammy Samat yang sehingga ini masih ahli UMNO. Jawapan Yammy itu menarik. Dia menyamakan cara dia mendidik anaknya itu dengan cara Dr. Mahathir mendidik anak-anaknya. Yammy menyebut nama dua anak Dr. Mahathir — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir.

"Saya cuba didik anak saya jadi Mukhriz, tetapi apabila dia sudah besar dia jadi Marina.

"Saya beri kebebasan kepada anak saya untuk memilih mana baik dan mana buruk. Dia sudah dewasa dan sudah boleh memikirkannya,” kata Yammy.

Tidak perlulah dihuraikan apa maksud kata-kata Yammy itu. Semua orang tahu paradoks pemikiran dan sikap Dr. Mahathir dengan anaknya, Marina terhadap beberapa isu. Paradoks itu bukan rahsia lagi. Marina sendiri dalam reaksinya tidak mahu terheret dalam isu antara Yammy dengan bapanya itu.




Pendirian Marina itu masuk akal. Dia tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya kecil ini — yang bertanding bukannya Yammy atau Marina; yang bertanding ialah Dyana lawan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang jadi calon Barisan Nasional.

UMNO boleh melihat langkah DAP meletakkan seorang gadis Melayu sebagai calon pilihan raya di kawasan yang pengundi majoritinya kaum Cina sebagai "peraga hias" (window dressing) atau "pertandingan ratu cantik" atau bermacam-macam lagi label. UMNO boleh memilih untuk terus bersilat dengan retorik politik label seperti itu. Cuma harap-harapnya ia juga sedar apa yang sedang berlaku.

Tindakan DAP menamakan Dyana sebagai calonnya di Teluk Intan dari satu sisi boleh jadi satu strategi politik untuk memecah tembok psikologi di kalangan pengundi Melayu. Ini strategi jangka panjang menuju pilihan raya umum akan datang. Wartawan Irwan Muhammad Zain dalam analisis awalnya ada mengulas tentang ini.

Kenapa Dyana, seorang anak muda berumur 27 tahun yang dikatakan "mentah", "belum diuji" dan "tidak berpengalaman"?

Dyana memiliki watak dan ciri-ciri yang diperlukan oleh DAP. Dia muda — memajukan dia sebagai calon menampakkan DAP sebagai sebuah parti yang betul-betul meraikan generasi muda, sedia membuka ruang dan peluang untuk barisan pelapis. Tetapi lebih daripada itu, DAP memajukan Dyana kerana dia lulusan UiTM — sebuah institusi yang lahir daripada Kongres Ekonomi Bumiputera — dan membesar dalam keluarga UMNO.

Apakah maknanya itu semua?

Maknanya ialah UMNO bukan lagi satu-satunya parti yang mewakili harapan orang Melayu; bahawa DAP juga adalah parti pilihan orang Melayu. Dyana ini watak orang Melayu yang tidak lagi melihat dirinya sebagai "pertama, Melayu; kedua, warga Malaysia". Ini watak Melayu yang melihat dirinya sebagai Bangsa Malaysia — istilah yang disebut oleh Dr. Mahathir dalam ucapannya 23 tahun lalu ketika beliau membentangkan cita-cita Malaysia untuk jadi negara maju menjelang 2020: "…sebuah bangsa Malaysia dengan hala tuju bersama…".

Kita semua tentu tidak lupa dan belum lupa kepada ucapan penting itu.

Inilah yang membawa kita kepada debat tentang setia dan makna bernegara: Setia warga itu kepada siapa dan untuk apa?

Dyana adalah sebahagian daripada anak muda masa kini yang tahu apa yang mereka mahu untuk sebuah masa depan. Mereka ini tidak lagi boleh digertak supaya mengenang sejarah dan membalas budi. Apakah adil untuk kita menuduh mereka buta sejarah? Buta sejarah yang mana satu? Apakah sejarah itu sehingga hari ini murni dan tidak dikhianati?

Barangkali ada baiknya kalau UMNO merenung diri dan mencari jawapan kenapa anak muda Melayu dan berpendidikan tinggi memilih untuk masuk DAP. Ini masa untuk muhasabah diri. Ini bukan masa untuk mengutuk anak muda Melayu masuk DAP kerana caci maki ke atas mereka tidak menyelesaikan masalah.

Masalah yang ada bagi UMNO nanti ialah masalah yang menunggu selepas pilihan raya kecil ini kerana kalau DAP kalah sekalipun di Teluk Intan nanti, parti itu sudah menunjukkan kepada kita dengan jelas sebuah naratif yang baru tentang orang Melayu dan makna setia.

Naratif itu pun sebenarnya tidak begitu baru.

_____________________________________________
Sumber: Astro Awani 
Oleh: Noor Azam Shairi | Mei 22, 2014

No comments:

Post a Comment