Wednesday, 2 April 2014

Tidak dibenar tarik diri, Istana Budaya sedia polis kawal Hanez Suraya


KUALA LUMPUR: Sebelum ini timbul desas-desus mengenai penarikan diri pelakon kontroversi Hanez Suraya dari pementasan teater ‘Projek Kahwin’ yang bakal berlangsung di Istana Budaya (IB) Jun depan.

Bagaimanapun menerusi sidang media yang berlangsung semalam, pihak produksi dan IB telah mengesahkan Hanez kekal berlakon dalam pementasan teater itu.

Hanez Suraya ketika ditemui mengaku pernah menyuarakan hasrat untuk menarik diri dari pementasan tersebut kepada IB ekoran kontroversi yang melanda dirinya, namun permohonannya itu telah ditolak.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihak IB telah bersedia untuk melakukan kawalan ketat dan menyediakan polis berpakaian biasa (preman) sepanjang pementasan itu nanti.

Beliau turut menjelaskan tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga terhadap beberapa ugutan yang diterima Hanez oleh beberapa individu selepas didakwa merampas suami orang.

“Kita dah buat keputusan untuk kekalkan Hanez Suraya dan sudah bersedia untuk berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan. Kawalan keselamatan akan diketatkan jika perlu kerana IB bertanggungjawab ke atas keselamatan pelakon dan penonton sepanjang pementasan berlagsung,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media di Istana Budaya pada Selasa.

Teater projek kahwin akan mengekalkan Hanez pada empat hari terakhir pementasan, manakala enam pementasan awal teater itu bakal menyaksikan aktres Kilafairy beraksi menggantikan watak yang seharusnya dipegang Hanez.

Terdahulu, timbul desas-desus kononnya Hanez telah menarik diri daripada pementasan teater tersebut gara-gara kontroversi percintaannya dengan ahli perniagaan, Romie Razin Adilha yang masih bergelar suami itu dikecam.

Projek Kahwin yang akan dipentaskan bermula 6 hingga 14 Jun depan di Panggung Sari, Istana Budaya turut menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment