Usaha pencarian diteruskan - Foto AFP
PERTH: Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menolak sebarang kaitan serpihan yang ditemui di Pantai Australia dengan pesawat MH370.
Serpihan yang digambarkan sebagai ‘bahan yang tidak dikenali’ telah ditemui pada Rabu di pantai berdekatan Augusta iaitu lebih 300 kilometer dari selatan Perth.
Bahan yang tidak dikenali itu dijumpai oleh orang awam dan telah diserahkan kepada pihak polis.
ATSB telah memeriksa gambar-gambar dari bahan tersebut untuk mengenalpasti sama ada ia ada kaitan dengan pesawat MH370.
Gambar-gambar tersebut turut diserahkan kepada pasukan penyiasat Malaysia.
Bagaimanapun, penerangan Ketua Pesuruhjaya ATSB Martin Dolan tidak meletakkan apa-apa harapan terhadap penemuan berkenaan.
“Kami mengkaji dengan teliti gambar-gambar yang diserahkan oleh pihak polis kepada ATSB dan kami amat yakin bahawa penemuan tersebut tiada kaitannya dengan pesawat MH370” kata beliau kepada ABC.
“Kami akan terus mencari apa-apa kemungkinan yang boleh membantu siasatan, namun penemuan bahan ini sememangnya tidak dapat membantu dalam misi pencarian” katanya.
Dolan turut berkata bahan yang tidak dikenali itu adalah lembaran besi dengan beberapa skru rivet.
“Penemuan yang menarik untuk dilihat, namun tidak seperti yang kita harapkan” jelas Dolan yang mengesahkan perkara itu pada Rabu malam.
Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.
Misi pencarian yang disertai pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat MH370 itu, mula-mula di Laut China Selatan selepas pesawat itu menyimpang daripada laluan asal, di selatan Lautan Hindi.
Selepas satu analisis data satelit menunjukkan bahawa kedudukan terakhir MH370 ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan lautan Hindi". - AFP
No comments:
Post a Comment