Thursday 6 March 2014

Bekas pesakit denggi berisiko diserang kali kedua

KUALA LUMPUR: Mereka yang pernah menghidap demam denggi mempunyai risiko tinggi diserang penyakit itu untuk kali kedua.

Malah kajian mendapati serangan denggi kali kedua sering kali membawa kesan yang lebih teruk sehingga boleh mengakibatkan maut.

Pengarah, Pusat Penyelidikan & Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Universiti Malaya, Prof Sazaly Abu Bakar berkata ramai beranggapan bahawa mereka yang pernah menghidap denggi tidak akan mendapat penyakit sama kerana antibodi berupaya melawan penyakit selepas jangkitan pertama.

Namun kajiannya di Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya membuktikan mereka yang pernah menghidap penyakit itu perlu lebih berhati-hati.

"Dalam kajian kami mendapati hampir 100% mereka mati denggi sebab jangkitan seterusnya kedua ketiga yang penting nak beritahu yang pernah terkena denggi mereka terdedah risiko terkena denggi berdarah teruk kali kedua tiga. Jadi amat penting bagi mereka memastikan mereka ini tidak digigit nyamuk," kata Prof Sazaly.

Kajian mendapati kebanyakan wabak penyakit virus demam denggi di negara ini adalah disebabkan oleh jangkitan denggi virus daripada Seroptip 1.

"Lebih 60% pesakit yang kita rawati di Pusat Perubatan Universiti Malaya kami mendapati mereka telah dijangkiti virusSerotip 1. Cuma 20% denggi disebabkan virus Serotip 2 dan 1% masing-masingSerotip 3 dan 4." tambahnya.

Namun katanya penemuan itu tidak mengejutkan berikutan virus Serotip 1telah berada di Malaysia sejak sekian lama dan Serotip 2 juga bukan virus baru.

Serotip-serotip virus denggi yang wujud dinamakan denggi jenis 1, 2, 3, dan 4. Biarpun berlainan strain virus namun keempat-empat virus berkenaan adalah serupa.

Bagaimanapun, Sazaly melihat punca penularan wabak denggi kali ini bukan disebabkan faktor virus sahaja.

"Dalam kajian dapati kemungkinan wabak berlaku sebab populasi di mana ramai yang tidak ada kelalian kepada jangkitan virus denggi jumlah mereka adalah ramai dan menyebabkan mereka terdedah jangkitan denggi virus." kata Sazaly.

Namun apa yang nyata punca sebenar wabak adalah bukan faktor nyamuk semata-mata.

Penulis juga melakukan eksperimen memasukkan tangan ke dalam kotak yang dipenuhi ratusan ekor nyamuk aedes.

Hanya beberapa saat dalam kotak itu, kesemua nyamuk mula mengerumuni tangan dan terasa sakit apabila digigit nyamuk-nyamuk berkenaan.

Biarpun terdapat kesan gigitan namun nyamuk-nyamuk ini sebenarnya telah dibiakkan dalam makmal dan bebas daripada virus denggi.

Sekaligus membuktikan hanya apabila seseorang yang dijangkiti virus denggi digigit oleh nyamuk aedes maka penyebaran wabak akan berlaku.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment