Sunday 16 February 2014

Datuk lapan cucu ditahan menagih dadah

KUALA KEDAH: Seorang lelaki warga emas mempunyai lapan cucu ditahan polis bersama 41 penagih yang lain ketika diserbu polis di Jambatan Tok Pasai, Kuala Kedah pada pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah menyerbu kawasan berkenaan yang dipercayai menjadi ‘port’ penagih dadah sejak lebih dua tahun lalu.

Ketika serbuan, beberapa penagih terbabit cuba melarikan diri bagaimanapun gagal berikutan kawasan itu telah dikepung.

Lelaki warga emas yang dikenali dengan panggilan ‘Pak Long’ itu mengakui sudah 42 tahun menagih dadah jenis heroin sejak menuntut di sebuah universiti di Kuala Lumpur atas alasan untuk menghilangkan tekanan serta pengaruh daripada rakan sebaya.

Dia yang mendakwa dirinya pernah bekerja sebagai penasihat undang-undang di Johor mengakui terpaksa melepaskan gian dengan membeli satu straw heroin berharga RM10 setiap hari dengan menggunakan wang simpanan sehingga sanggup menjual harta pusaka yang ada.

Dia turut mengakui pernah tiga kali ditahan polis ketika menagih dadah serta turut ditahan di Pusat Rawatan Pemulihan di Rawang, Selangor pada tahun 2003.

Bagaimanapun dia dikatakan tidak boleh melupakan ketagihan dadah yang sudah sebati dalam diri.

Dengan nada yang kesal dia berkata bahawa keluarganya pernah melarang selain meminta supaya dia berhenti menagih dadah.

Namun menjadi satu kesukaran buat dirinya berikutan beberapa kali cubaan untuk berhenti tetapi gagal.

Menurut Ketua Operasi, Insp Muhammad Amin Mat Yasin, kesemua penagih terbabit datang ke kawasan itu pada waktu awal pagi untuk mendapatkan bekalan dadah yang dihantar melalui tokan yang datang ke kawasan itu sebelum melepaskan gian menghisap dadah jenis heroin di situ.

Ia berdasarkan penemuan peralatan yang digunakan untuk menghisap dadah di sekitar kawasan terbabit.

Bagaimanapun bagi memudahkan urusan jual beli, dikatakan tokan tersebut turut mempamerkan nombor telefon untuk dihubungi yang ditulis di tiang konkrit jambatan berkenaan.

“Antara yang ditangkap di sini lebih kurang 22 orang tempatan Kuala Kedah selebihnya orang di sekitar Kuala Kedah faktor kawasan ini menjadi tumpuan kerana mudah didapati dan disamping itu pekerjaan penduduk tempatan sebagai nelayan memberikan faktor utama kawasan ini menjadi tumpuan penagihan dadah,” katanya.

Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 22 hingga 62 tahun kini ditahan mengikut seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983 Pindaan 1988 kerana disyaki penagih dan sabit kesalahan boleh dihantar ke Pusat Pemulihan Dadah selama dua tahun atau di bawah pengawasan polis selama dua tahun.

Mereka kemudian dibawa ke ipd kota setar untuk siasatan lanjut dan berdasarkan ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap mereka mendapati kesemuanya positif opiate dan morfin.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment