Tuesday 7 January 2014

Kisah cinta: Faralyna lebih berhati-hati


Faralyna

BARANGKALI ramai yang kurang mengenali Faralyna, Idris, 22. Namun jika sebut lakonannya sebagai Sandra menerusi drama remaja popular TV3, Kisah Kaisara, pasti ada yang dapat membayangi wajah empunya nama ini.

Lima tahun dalam industri seni, Faralyna boleh dianggap sebagai artis yang bebas dari kontroversi. Namun kisah cintanya bersama aktor yang sedang meningkat naik, Hairul Azreen, pernah menjadi perhatian media sebelum ini.

Walaupun hubungan itu sudah berakhir Februari lalu, namun Faralyna kini semakin berhati-hati. Akui sudah punya pengganti yang lebih memahami dirinya, aktres ini bagaimanapun enggan menjaja kisah cintanya.

Menurut Faralyna, dia kini sedang mengenali hati budi lelaki yang berjaya menambat hatinya itu.

Bagaimanapun, pelakon muda ini enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai kekasihnya.

Faralyna berkata, pengalaman lalu mengajar dirinya supaya tidak berkongsi terlalu banyak berkaitan hubungan peribadinya, memandangkan usia kedua mereka masih muda.

“Terlalu awal untuk saya bercerita mengenai perjalanan hubungan kami yang baru saja mencecah usia enam bulan. Lagipun saya lebih selesa begini, kerana ingin menjaga air muka keluarga saya dan keluarganya. Cukuplah peminat tahu bahawa saya sedang berkawan dengan seseorang.

“Dia bukanlah orang dalam industri. Fokus saya sekarang adalah pada kerja dan keluarga. Cukup-cukuplah saya menjaja kisah cinta sebelum ini,” katanya.

Menyedari usia lakonannya masih 'hijau', Faralyna tidak meletakan harapan tinggi untuk meriah populariti.

Katanya, walaupun sudah lima tahun dalam dunia seni, masih banyak lagi selok-belok lakonan yang perlu dipelajari.

“Alhamdulillah, walaupun bersaing dengan ramai pendatang baru dalam dunia hiburan ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berdiri sebagai anak seni.

“Saya hanya mahu orang tahu kewujudan saya dalam dunia seni kerana perjalanan saya masih jauh,” katanya yang tidak mahu mengejar populariti.


Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment