Thursday 23 January 2014

Anggota polis mengaku berkhalwat

Anggota polis mengaku berkhalwat
Zainurul Azilawaty mengaku bersalah pertuduhan khalwat di Mahkamah Syariah Kuala Selangor, semalam. - Foto Sinar Harian


KUALA SELANGOR - Gara-gara berdua-duaan di dalam sebuah rumah tanpa hubungan sah, pasangan kekasih yang juga anggota polis berpangkat sarjan dan pegawai penyiasat trafik dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Selangor, semalam.

Tertuduh, Mohd Che’ Puteh Omar, 28, dan pasangannya, Zainurul Azilawaty Azizan, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof.

Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Johor itu faham dengan pertuduhan yang dibacakan dan mengaku bersalah berkhalwat di sebuah rumah di Taman Paduka, di sini pada jam 5.55 pagi pada 19 Ogos 2013 lalu.

Mereka dipercayai sudah bertunang ketika itu didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun tertuduh memohon rayuan supaya hukuman diringankan dengan alasan mereka sudah bernikah dengan sah pada Disember 2013 lalu manakala Zainurul kini mengandung.

Pegawai Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli memberitahu mahkamah, tertuduh faham dengan pertuduhan dan masing-masing menjawat jawatan berlatarbelakangkan penguatkuasaan.

“Mereka ini lebih arif dengan undang-undang dan meskipun penjawat awam namun moral mereka dipertikaikan. Sewajarnya hukuman setimpal diambil bagi memberi pengajaran orang ramai di luar sana,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau 60 hari penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment