Wednesday 12 June 2013

Lelaki maut terkena bom buatan sendiri

SEMPORNA - Seorang lelaki Pakistan maut apabila sebutir bom, dipercayai buatan sendiri, meletup di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Air, Semporna awal pagi ini.
  
Kejadian pada pukul 4.20 pagi itu menyebabkan Attaulah Hukmat Khan, 35, yang sedang tidur di ruang tamu rumah itu, mati di tempat kejadian.
  
Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata rumah yang tidak bernombor itu didiami empat lagi rakan Attaulah dan ketika kejadian kesemua lelaki Pakistan yang berumur antara 22 dan 50 tahun itu sedang tidur dalam sebuah bilik.
  
"Pemeriksaan awal mendapati terdapat tanda goresan di bahagian perut dan dada mangsa namun polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,"  katanya ketika dihubungi hari ini.
  
Mohd Firdaus berkata empat lagi rakan mangsa tidak cedera.

Mohd Firdaus berkata kesan letupan itu dapat dilihat pada dinding ruang tamu yang pecah dengan tingkap kaca rumah berkenaan serta tingkap kaca beberapa rumah berhampiran turut bekecai.
  
Beliau berkata Unit Letupan dan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jenis sebenar bahan letupan itu.
  
Motif kejadian belum dikenal pasti namun polis mendapati kejadian itu lebih kepada kes jenayah.
  
Beliau menegaskan bahawa letupan berkenaan tidak ada kaitan dengan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna Februari lepas dan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik.
  
"Orang ramai tidak perlu membuat andaian yang bukan-bukan. Mana-mana pihak yang ada maklumat mengenai kejadian itu diminta terus berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Zairul di talian 089-781244 di Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna," katanya.  - Bernama

No comments:

Post a Comment